Lelaki ditahan berkait kes simbah asid Faisal Halim

Lelaki ditahan berkait kes simbah asid Faisal Halim

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia lingkungan 20-an itu akan direman hari ini.

Pemain Selangor FC Faisal Halim disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan untuk membantu siasatan kes pemain Selangor FC Faisal Halim disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, semalam.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata lelaki berusia lingkungan 20-an itu akan direman hari ini.

Katanya, sehingga kini pihaknya merakam keterangan tiga individu termasuk mangsa berhubung kejadian itu.

“Beberapa lagi saksi bebas akan dipanggil hari ini,” katanya kepada FMT.

Dalam kejadian itu, pemain Harimau Malaya yang juga penjaring gol tercantik Piala Asia lecur di beberapa bahagian badan iaitu sekitar leher, bahu, lengan dan dada.

Faisal yang dikenali sebagai ‘Mickey’ dirawat di sebuah hospital swasta dan keadaannya dilaporkan stabil.

Insiden menimpa Faisal adalah kedua melibatkan pemain Harimau Malaya. Khamis lalu pemain sayap yang mewakili Terengganu FC, Akhyar Rashid menjadi mangsa samun.

Akhyar dilaporkan cedera di kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.