Kemuka nama kampung diwakili segera, PM gesa menteri, ketua jabatan

Kemuka nama kampung diwakili segera, PM gesa menteri, ketua jabatan

Sebaiknya, setiap ketua jabatan dan menteri mewakili kampung asal mereka untuk membantu penduduknya, kata perdana menteri.

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah membelanjakan lebih RM22 bilion untuk membantu orang miskin di seluruh negara melalui pelbagai kementerian dan jabatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa Jemaah Menteri serta ketua-ketua jabatan mengemukakan nama kampung yang akan mereka wakili secepat mungkin bagi membantu usaha menaik taraf kehidupan penduduk di kampung berkenaan, terutama golongan miskin.

Beliau berkata, cetusan idea ini ialah pendekatan baharu yang diketengahkan agar masalah yang telah lama membarah di kawasan-kawasan desa dapat ditangani secara bersaluran dan berkesan.

“Mereka mesti mendengar setiap masalah dan cuba selesaikan. Masalah pengangguran, keciciran, misalnya, dapat diperbetul dengan lebih tangkas.

“Negara yang Madani harus bermula dari bawah dan bergerak tegak atas landasan dan jalur perubahan,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, lapor Bernama.

Anwar berkata, kerajaan telah membelanjakan lebih RM22 bilion untuk membantu orang miskin melalui pelbagai kementerian dan jabatan, berdasarkan input daripada ketua kampung dan penghulu hasil perjumpaan antara wakil-wakil jabatan dan menteri.

Sebaiknya, ketua-ketua jabatan dan menteri mewakili kampung asal mereka dan membantu penduduknya, katanya.

Semalam dilaporkan Anwar mencadangkan agar setiap anggota Jemaah Menteri serta pemimpin tertinggi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, termasuk dirinya sendiri, menjaga sebuah kampung bagi mengetahui secara langsung masalah yang dihadapi di kampung berkenaan.

Cadangan tersebut akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri esok, katanya di Bukit Mertajam semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.