Kasino Forest City: Wartawan selesai beri keterangan

Kasino Forest City: Wartawan selesai beri keterangan

Keterangan Ram Anand dirakam kira-kira dua jam di Bukit Aman pagi tadi.

Wartawan Ram Anand (kanan) dilihat keluar dari Bukit Aman pada 11 pagi tadi.
KUALA LUMPUR:
Polis selesai merakam keterangan seorang wartawan portal bahasa Inggeris bagi membantu siasatan berhubung penerbitan artikel pembangunan kasino di Forest City, Johor.

Ram Anand dilihat keluar dari Bukit Aman kira-kira 11 pagi selepas tiba pada 8.30 pagi.

Jumaat lalu, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata keterangan wartawan itu akan dirakam Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Siasatan dijalankan susulan laporan dibuat peguam Pengasas Berjaya Corporation Vincent Tan berhubung artikel berunsur fitnah bertajuk ‘Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg’.

Artikel itu didakwa mengandungi pernyataan palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Menurut Razarudin, polis juga akan merakam keterangan beberapa individu lain, termasuk Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting Lim Kok Thay berhubung perkara itu.

Terdahulu, beberapa pihak menggesa kerajaan menyaman dua agensi media asing berhubung penerbitan artikel yang dikatakan berniat jahat mengenai rancangan pembangunan kasino di Forest City.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Berjaya dan Genting Malaysia sebelum ini menafikan laporan Bloomberg mengenai perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.