Perak setuju bekal air ke P Pinang, kata Anwar

Perak setuju bekal air ke P Pinang, kata Anwar

Perdana menteri berkata perkara itu dipersetujui Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata bekalan air dari Sungai Perak akan mengalir melalui industri hijau Kerian dan sekurang-kurangnya ke Seberang Perai, Pulau Pinang. (Gambar SADA)
GEORGE TOWN:
Kerajaan Perak bersetuju membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

“… kita menerima berita baik kerana Tuanku Sultan Nazrin dan kerajaan negeri, menteri besar bersetuju untuk menyediakan bekalan air dari Sungai Perak dan mengalir melalui industri hijau Kerian dan sekurang-kurangnya ke Seberang Perai. Fasa pertama akan sampai ke Seberang Perai termasuk Nibong Tebal dan Sungai Bakap.

“… saya (juga) percaya dengan hubungan yang lebih baik dengan Kedah sejak akhir-akhir ini, mudah-mudahan dapat kekal dan saya percaya boleh dirunding cara yang lebih profesional keperluan Pulau Pinang bekerjasama dengan Kedah dari soal perbekalan air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara yang diadakan serentak dengan majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Pulau Pinang.

Menyentuh mengenai cadangan projek lapangan terbang di Kulim, Kedah, Anwar berkata infrastruktur merentas bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan mesti dibincang dengan teliti mengambil kira semua faktor.

Dalam hal itu, Anwar berkata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook baru-baru ini juga bersetuju untuk meneruskan rundingan, namun perlu mengikut proses yang sepatutnya.

Malah, Anwar berkata masalah projek itu yang tergantung susulan pengumuman sebelum ini dilihat kurang diteliti dan tidak mengikut proses sepenuhnya.

“Kita tidak pernah menolak keputusan kita untuk bincang dan meneliti semua faktor, yang kita minta proses kena ikut kerana ada bidang kuasa mutlak negeri dan ada bidang kuasa mutlak Persekutuan.

“Yang mana bantah dari segi laluan penerbangan, soal sekuriti dan soal bantahan daripada tentera udara semua itu kita ambil kira. (Selain itu), ke mana unjuran kargo dan apakah kargo cukup, semua itu kita bincang.

“Saya serah kepada kementerian (pengangkutan) dan jawatankuasa teknikal, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan. Kemudian kalau mereka rasakan patut disegerakan, kita segerakan kerana projek ini akan memberi manfaat kepada rakyat…tidak ada masalah sama sekali,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.