Putrajaya benarkan Mada tukar status sawah kepada komersial

Putrajaya benarkan Mada tukar status sawah kepada komersial

Perdana menteri berkata, Putrajaya juga sedia mempertimbangkan permintaan menaikkan peruntukan menaik taraf prasarana pertanian di bawah Mada daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion.

Anwar Ibrahim berkata, permintaan Sanusi Md Nor untuk menukar status kawasan sawah itu bagi meningkatkan pendapatan negeri yang banyak bergantung kepada hasil pertanian sebelum ini.
PETALING JAYA:
Kerajaan persekutuan memberi kelulusan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) menukar status kawasan sawah bagi kegunaan komersial, umum Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, permintaan Menteri Besar, Sanusi Md Nor itu bagi meningkatkan pendapatan negeri yang banyak bergantung kepada hasil pertanian sebelum ini.

Menurutnya, Putrajaya juga sedia mempertimbangkan permintaan menaikkan peruntukan menaik taraf prasarana pertanian di bawah Mada daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion.

“Sejak tahun lalu, kita berusaha meningkatkan harga padi, tetapi ini tak cukup. Maka, ada peruntukan awal RM3 bilion yang diberikan untuk mempersiapkan prasarana bagi meningkatkan produktiviti padi sehingga lima kali dalam dua tahun, tetapi dalam perkiraan terakhir RM5 bilion diperlukan.

“Bagi memenuhi keperluan, kita beri pertimbangan beberapa kawasan milik Mada dipindahkan untuk dijadikan perumahan, industri dan perniagaan.

“Untuk itu, kerajaan persekutuan secara dasar bersetuju dan saya minta pegawai runding segera bagi meningkatkan pendapatan Kedah,” katanya menurut Harian Metro ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Kedah di Darulaman Park Jitra.

Anwar berkata, Kedah sentiasa memainkan peranan penting sebagai pengeluar makanan negara, tetapi berdepan masalah kemiskinan tegar yang perlu diselesaikan segera.

Justeru, beliau mahu 2,500 keluarga miskin tegar di Kedah segera dibantu supaya masalah itu dapat dinoktahkan dalam tempoh dua bulan.

“Kedah mendapat peruntukan antara tertinggi kerana memainkan peranan istimewa dalam mengeluarkan hasil padi, tetapi ia membebankan kerana kelompok penanam padi dalam kalangan miskin yang mesti dibantu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.