
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi, Pertubuhan Buruh Antarabangsa dan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah berkata mereka bersedia untuk menyokong memenuhi keperluan segera mereka yang terkandas.
Ini termasuk meningkatkan akses mereka kepada keadilan dan perkhidmatan asas, serta usaha jangka panjang untuk mencari penyelesaian berasaskan hak dan mampan kepada situasi itu, kata mereka dalam satu kenyataan bersama.
“Ketiga-tiga agensi bersedia menyokong kerajaan Malaysia dengan mengkaji semula sistem migrasi buruh semasa, menggunakan piawaian antarabangsa dan amalan baik dan menyokong dialog dasar yang membina untuk membangunkan proses migrasi buruh yang telus dan cekap,” kata kenyataan itu.
Ia berkata pekerja asing Bangladesh kini membentuk bilangan pekerja asing terbesar di Malaysia.
Sejak suku kedua 2023, terdapat peningkatan jumlah laporan pekerja yang tidak diberikan pekerjaan sebaik tiba di negara ini, kata agensi itu.
“Sebaliknya, terdapat laporan mengenai majikan dan ejen pengambilan menempatkan mereka di asrama, pangsapuri atau gudang yang selalu sesak dengan kemudahan yang tidak bersih, akses minimum kepada makanan, komunikasi terhad dengan dunia luar dan penjagaan kesihatan yang terhad (atau kurang), sambil merampas pasport dan dokumen lain mereka,” tambah kenyataan itu.
Pada April, sekumpulan pakar PBB menyeru Malaysia meningkatkan usaha untuk melindungi pekerja asing Bangladesh daripada dieksploitasi ke atas pekerjaan yang tidak wujud.
Pakar yang dilantik Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkata mereka kecewa dengan laporan mengenai pendatang Bangladesh yang pergi ke Malaysia selepas dijanjikan pekerjaan, sebelum menyedari ditipu.
Oktober lalu, aktivis hak migran Andy Hall merujuk respons buruk Malaysia terhadap nasib pekerja Banglades terbabit kepada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, sebuah badan di bawah Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.