Ocean Infinity cadang mula cari MH370 November ini

Ocean Infinity cadang mula cari MH370 November ini

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata beliau akan membentangkan cadangan itu untuk mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

ocean infinity
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata Ocean Infinity tidak boleh memulakan misi pencarian sekarang kerana keadaan cuaca di Selatan Lautan Hindi. (Gambar Ocean Infinity)
BATANG KALI:
Syarikat robotik marin Ocean Infinity mencadangkan misi pencarian baharu pesawat Malaysia Airlines MH370 bermula November ini, bergantung kepada kelulusan Jemaah Menteri, kata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook

“Kami menjangkakan (persediaan) mengambil masa tiga bulan. Sekiranya semula berjalan lancar, Ocean Infinity bersedia memulakan misi pencarian pada November.

“Pencarian tidak boleh bermula sekarang kerana keadaan cuaca di Selatan Lautan Hindi. Ocean Infinity berkata, cuaca paling sesuai adalah antara November hingga April,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan karnival kerjaya ECRL.

Loke berkata, perkara itu disahkan ketika pertemuaan antara kementerian dan syarikat itu semalam, di mana Ocean Infinity membentangkan cadangan terbaharunya.

Terdahulu, kumpulan ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 mengesahkan pertemuan itu dan berharap pencarian itu akan dimulakan segera.

“Kami menunggu kertas kerja yang diperlukan disemak sebelum kontrak baharu ditandatangani. Keluarga MH370 mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat,” kata kumpulan itu.

Pada Mac lalu, Loke berkata beliau akan bertemu dengan Ocean Infinity pada awal bulan ini untuk membincangkan kemungkinan menyambung semula pencarian MH370.

Sebelum ini Ocean Infinity melaksanakan pencarian di Lautan Hindi pada 2017 dan berakhir pada 2018.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.