Ocean Infinity bentang pelan baharu pencarian MH370, kata kumpulan keluarga

Ocean Infinity bentang pelan baharu pencarian MH370, kata kumpulan keluarga

Persatuan ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 berkata ia berharap kontrak itu dapat ditandatangani.

loke loke
Pegawai Kementerian Pengangkutan yang diketuai Loke Siew Fook ketika pertemuan dengan eksekutif Ocean Infinity di Putrajaya. (Gambar kumpulan ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370)
PETALING JAYA:
Syarikat robotik marin Ocean Infinity sudah membentangkan pelan baharu pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang kepada Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook semalam, kata kumpulan keluarga mangsa.

Menurut hantaran laman Facebook kumpulan ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370, pembentangan itu diterima baik oleh Loke dan pasukannya.

“Kami menunggu kertas kerja yang diperlukan disemak sebelum kontrak baharu ditandatangani. Keluarga MH370 mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat,” kata kumpulan itu.

Pada Mac lalu, Loke berkata beliau akan bertemu dengan Ocean Infinity pada awal bulan ini untuk membincangkan kemungkinan menyambung semula pencarian MH370.

“Kita tunggu dulu kertas cadangan mereka dan selepas dengar pembentangan, kementerian perlu buat kertas Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri untuk mengadakan komitmen tersebut.

“Kena faham prinsipnya ialah ‘no cure, no pay’. Kalau mereka tak dapat jumpa pesawat itu, tidak ada bayaran diberikan. Namun begitu kalau sudah ada komitmen (perjanjian), kalau mereka jumpa kita perlu bayar. Ia (akan) melibatkan implikasi kewangan dan memerlukan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya.

Sebelum ini Ocean Infinity melaksanakan pencarian di Lautan Hindi pada 2017 dan berakhir pada 2018.

Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan kru, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.