TVET dipertingkat tampung kekurangan 30,000 jurutera

TVET dipertingkat tampung kekurangan 30,000 jurutera

Anwar Ibrahim berkata, menjadi tuntutan pada zaman sekarang untuk memberi tumpuan dalam bidang kecerdasan buatan supaya tidak ketinggalan.

Anwar Ibrahim berkata, teknologi kecerdasan buatan akan diterapkan dalam kalangan pelajar maahad tahfiz atau TVET untuk menguasai ilmu baharu itu supaya tidak ketinggalan. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) akan dipertingkatkan bagi menampung kekurangan 30,000 jurutera.

Selain itu, katanya, menjadi tuntutan pada zaman sekarang untuk memberi tumpuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) supaya tidak ketinggalan.

“Saya menyebutnya di hadapan semua kepimpinan dalam negara apa kebimbangan kita mengenai nilai soal akhlak, soal entiti kita sebagai rakyat Malaysia dan soal budaya kita dalam mempertahankan teknologi baharu ini.

“Kita juga berupaya mempertahankan akidah dan akhlak kepada kefahaman agama kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini malam tadi.

Beliau berkata, teknologi AI juga akan diterapkan dalam kalangan pelajar maahad tahfiz atau TVET untuk menguasai ilmu baharu itu agar tidak ketinggalan.

Bagi merealisasikan usaha itu, katanya, syarikat Microsoft sudah menyuarakan minat untuk melabur RM10.5 bilion bagi pembangunan teknologi AI di Malaysia.

Anwar turut memberi jaminan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13% yang diumumkan semalam akan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen.

“Saya fikir tiada masalah dalam meluluskan tambahan bagi kenaikan gaji penjawat awam berkuat kuasa 1 Dis ini.

“Ahli Parlimen mana yang mahu bangkang usaha kerajaan untuk menaikkan gaji penjawat awam, malah Kelantan juga menyatakan sokongan dan memaklumkan ia cadangan baik.”

Kelmarin, Anwar dilaporkan berkata, kenaikan gaji itu merupakan usaha untuk mengimbangi pendapatan antara pekerja gred rendah dan tinggi.

Di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam yang sedang diperincikan, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan berbanding RM1,795 ketika ini yang meliputi gaji dan elaun tetap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.