
Beliau berkata, pihaknya akan menulis surat kepada kastam dan tidak mahu perkara seperti itu berulang pada masa akan datang.
“Kita tidak (akan) membenarkan mana-mana produk dengan mesej tiada minyak sawit (untuk) mendiskriminasi minyak sawit.
“Kita akan beritahu kastam, henti barangan itu di pintu masuk,” katanya dalam sidang media.
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu sebuah kedai serbaneka di Presint 3, Putrajaya, semalam, kerana disyaki menjual produk makanan berlabel ‘Tiada Minyak Sawit’ pada plastik pembungkusannya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata serbuan bermula 11.45 pagi itu dibuat berdasarkan aduan awam.
Katanya, hasil pemeriksaan pasukan serbuan menemukan produk aiskrim pelbagai perisa yang mempunyai pernyataan NPO.
Dalam pada itu, Johari menyokong tindakan KPDN dan mahu semua pihak tidak ambil mudah mengenai perkara tersebut.
Beliau berkata, penguatkuasaan yang tegas sangat penting bagi menghalang ia berulang.
“Tidak boleh peniaga atau pengedar diskriminasi minyak sawit dalam negara kita. Kita sokong tindakan KPDN, sebab kita tidak ada ‘department’ untuk penguatkuasaan, tetapi kita (akan) pantau. Bila ada kes-kes macam ini, akan beri kepada KPDN,” katanya.