
Pembuat dasar di bank pusat AS itu mahu melihat inflasi “mula menurun” menuju 2% sebelum memulakan pemotongan kadar. Bagaimanapun, kadar inflasinya, menurut indeks harga pengguna (CPI), meningkat kepada 3.5% pada Mac, berbanding 3.2% pada Februari.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito berkata, penangguhan pemotongan kadar itu bermakna “tekanan terhadap ringgit akan berterusan”, dan melembapkan perbelanjaan domestik.
Ini turut bermakna pengaliran keluar modal akan berterusan, ditarik oleh pulangan yang lebih tinggi di AS, tambahnya.
Ringgit menjadi semakin lemah berbanding dolar AS sepanjang setahun setengah yang lepas disebabkan kebezaan ketara antara kadar dasar semalaman (OPR) Malaysia pada 3% dengan kadar dana Rizab AS pada 5.5%, pada tahap atas. Ini mendorong aliran keluar dana dari Malaysia ke AS dan pasaran lain dengan kebezaan kadar faedah yang serupa.
Ketika mesyuarat bulanannya pada Rabu, Rizab AS membuat keputusan mengekalkan kadar dananya. Pengerusinya, Jerome Powell memberitahu wartawan, inflasi “terlalu tinggi dan kemajuan dalam usaha untuk menurunkannya tidak menentu”.
Selepas menetapkan sebanyak enam pemotongan kadar bagi 2024 awal tahun ini, pasaran kini menetapkan hanya satu, iaitu pada Disember, menurut Reuters.
Ferlito menekankan keperluan membezakan antara pelabur spekulatif yang mencari pulangan lebih tinggi dengan pelabur strategik yang tertarik dengan ekosistem umum, bukan hanya dengan satu faktor seperti kadar faedah.
Beliau juga berkata, kerajaan tidak boleh mengawal faktor luaran yang menjadi punca kelemahan ringgit. Namun, katanya, kerajaan boleh mempercepat pelaksanaan reformasi struktur mesra pasaran dan perniagaan, seperti yang dianjurkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Abdul Rasheed Ghaffour.
Abdul Rasheed baru-baru ini menegaskan keperluan melaksanakan pembaharuan struktur yang penting bagi mengukuhkan prospek pertumbuhan negara serta menggalakkan pelaburan, untuk memberikan lebih “sokongan berkekalan terhadap ringgit”.
Dilema Rizab AS, respons BNM
Sementara itu, pakar ekonomi Shankaran Nambiar berkata, Rizab AS menghadapi dilema apabila kadar pertumbuhan perlahan dan inflasimeningkat, berpotensi menyebabkan pemotongan kadar ditangguhkan.
“Pihak berkuasa Malaysia mengharapkan Rizab AS mengurangkan kadarnya untuk menurunkan kebezaan antara kadar AS dengan Malaysia,” katanya kepada FMT Business.
“Jika ini tidak berlaku, pihak berkuasa perlu menggunakan langkah bukan kadar (untuk mengukuhkan ringgit), dan itulah yang mereka lakukan.”
Langkah-langkah yang diambil oleh BNM dan kerajaan termasuk “menggalakkan” syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menghantar pulang pendapatan daripada pelaburan asing dan mengutamakan pelaburan domestik.
“GLC akan mematuhi nasihat yang diberikan dan ini mungkin berlarutan buat sementara waktu, tetapi persoalannya di sini adalah berapa lama perlu kita tunggu,” kata felo kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia itu.
“Jika keadaan tidak berubah, saya menjangkakan pihak berkuasa akan lebih berusaha menggalakkan dan memujuk (GLC) menangguhkan pelaburan di luar negara, menangguhkan pembelian peralatan asing, dan menukar keuntungan bukan ringgit kepada aset ringgit.”
Berhubung implikasi keputusan kadar Rizab AS terhadap sentimen pasaran dan tindakan pelabur di Malaysia, beliau berkata, sentimen jangka pendek mungkin tidak memihak kepada Malaysia.
“Saya rasa pihak berkuasa akan lebih tegas untuk memastikan ringgit tidak menjadi terlalu lemah. (Langkah) ini mungkin diperlukan agar psikologi kemerosotan ringgit dapat dikawal,” tambahnya.