
Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim bersama Hakim Abu Bakar Jais berpandangan rayuan wanita berusia 38 tahun itu tiada merit.
Hakim Mary Lim bagaimanapun membuat penghakiman bertentangan.
Wanita itu, yang pada awalnya menganut Hindu, masih berusia kanak-kanak apabila ibunya menukar agamanya secara sebelah pihak, di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 1991.
Pertukaran agama itu berlaku ketika ibu bapa dalam proses perceraian yang muktamad pada 1992. Ibunya kemudian mengahwini seorang Muslim pada 1993, manakala bapanya meninggal dunia dalam satu kemalangan tiga tahun kemudian.
Wanita itu, yang dilahirkan pada 1986, berhujah bahawa di sebalik pertukaran agama itu, ibu dan bapa tirinya membenarkan dia terus mengamalkan agama Hindu.
Abang Iskandar berkata tiada pertikaian bahawa wanita itu pernah ke mahkamah syariah di Kuala Lumpur untuk keluar Islam.
““Kes ini pelik. Walaupun pertukaran agamanya semasa dia kanak-kanak tidak sah, kepenyalahan undang-undang itu tidak bermakna dia ‘tidak pernah menjadi Muslim” seperti Rosliza Ibrahim,” katanya.
Pada 2021, Mahkamah Persekutuan yang mendengar kes Rosliza terima keterangan bahawa dia dibesarkan oleh seorang ibu yang menganut ajaran Buddha. Mahkamah itu juga mendapati tidak ada keterangan membuktikan Rosliza menganut Islam dan menyimpulkan bahawa dia tidak pernah menjadi Muslim.
Bagi kes ini, Abang Iskandar berkata, keputusan mahkamah syariah menolak permohonan wanita itu untuk keluar Islam masih tidak berubah.
“Perintah itu sah dan boleh dikuatkuasakan melainkan ia diketepikan,” katanya.
Keputusan mahkamah syariah tidak sah
Lim bagaimanapun berkata mahkamah syariah di Kuala Lumpur tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan wanita itu, kerana pertukaran agama yang diperkatakan itu berlaku di Shah Alam.
“Setiap negeri ada undang-undang agama masing-masing.
“Mahkamah syariah di Wilayah Persekutuan tiada bidang kuasa untuk menghakimi Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor),” katanya.
“Ia terbatal dan tidak sah atas alasan bidang kuasa,” katanya.
Lim juga berpendapat kes ini sama seperti kes Rosliza.
“Dia tidak dilahirkan sebagai seorang Muslim dan ditukar agama Ketika kanak-kanak oleh ibunya secara sebelah pihak,” katanya.
Katanya seseorang hanya boleh dianggap sebagai seorang Muslim sekiranya orang itu melafazkan syahadah dan memahami kalimah itu.
Lim berkata permohonan wanita itu ke mahkamah syariah sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai penyerahan kepada bidang kuasa mahkamah itu.
“Dia mengambil langkah mengikuti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Lina Joy.
“Orang lain boleh melakukan perkara sama, memandangkan undang-undang sedia ada,” katanya.
Perayu diwakili oleh Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth selaku peguam, manakala Haniff Khatri Abdulla dan Majdah Muda tampil bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor.
Penasihat undang-undang negeri, Salim Soib @ Hamid, tampil bagi pihak kerajaan Selangor, yang dinamakan sebagai responden bersama.