KJ jangka kertas Kabinet industri sukan ‘menarik’

KJ jangka kertas Kabinet industri sukan ‘menarik’

Selain memupuk atlet terkemuka, industri sukan mampu menggalakkan pembentukan masyarakat sihat, kata bekas menteri belia dan sukan itu.

Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa industri sukan ialah sektor yang menguntungkan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin menyatakan minatnya terhadap kertas Jemaah Menteri mengenai industri sukan yang akan dibentangkan, menjangkakan butirannya “menarik”.

Khairy berkata, impak industri itu melangkaui usaha memupuk atlet terkemuka untuk menjadikan mereka berdaya saing di arena antarabangsa.

“Saya percaya dengan (usaha) membangunkan industri sukan. Kita sedar kepentingannya bukan sahaja dalam melahirkan atlet bertaraf dunia tetapi juga dalam memupuk (pembentukan) masyarakat yang sihat.

“(Industri sukan) ialah sektor yang menguntungkan, seperti yang dapat dilihat menerusi kerjasama korporat dan penajaan yang lazim dalam banyak jenis sukan,” katanya kepada FMT.

Pada 27 April, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan bahawa kertas cadangan itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata ia akan merangkumi perubatan sukan, penggunaan suplemen kesihatan, insurans, operasi gim dan kemudahan sukan, penganjuran aktiviti sukan dan persidangan, serta aktiviti berkaitan lain yang mampu menjana pendapatan negara.

Yeoh juga berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan untuk mengumpul data komprehensif bagi merangsang pertumbuhan sukan di negara ini.

Kertas Jemaah Menteri jadi rangsangan

Sementara itu, ahli lembaga Majlis Sukan Negara S Suriaghandi menjangkakan kertas Jemaah Menteri itu akan menjadi rangsangan bagi industri sukan, menjadikannya sektor bernilai tinggi dan memberikan manfaat kepada keseluruhan ekosistem.

Beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu berkoordinasi dengan Kementerian Kewangan untuk menyediakan pelepasan cukai dan insentif yang mampu menarik penglibatan sektor swasta dalam industri itu.

Cadangan kerjasama dengan Jabatan Perangkaan juga penting, kata Suriaghandi. Pengumpulan data yang tepat akan membolehkan KBS mendapatkan sokongan pembiayaan tambahan daripada Kementerian Kewangan, tambahnya.

S. Suriaghandi.

Beliau berkata, cukai yang dikutip daripada industri sukan akan mendorong pertumbuhan KBS.

“Sebahagian daripada cukai ini, jika bukan semua, harus dilaburkan semula kepada KBS untuk menyokong pertumbuhan industri sukan,” katanya.

“Dengan pembiayaan tambahan, Majlis Sukan Negara (MSN) akan dapat menambah baik lebih banyak lagi programnya. Ini juga akan membantu aspirasi kementerian untuk melahirkan masyarakat yang sihat, cergas dan sejahtera.”

‘Ekosistem lengkap’

Seorang lagi bekas menteri belia dan sukan, Reezal Merican Naina Merican berkata, kertas cadangan akan memberikan manfaat kepada mereka yang terlibat dalam pembekalan produk dan perkhidmatan berkaitan sukan.

Reezal Merican Naina Merican.

“Perlu difahamkan, sukan bukanlah sekadar kegiatan fizikal. Sukan mesti dilihat sebagai ekosistem lengkap yang terdiri daripada pengeluar, peniaga, peruncit dan pengguna, serta kegiatan hiliran dan sokongan yang datang bersamanya.

“Sangat penting, dan sudah tiba masanya, pelan induk atau pelan tindakan untuk industri sukan diwujudkan,” kata Reezal kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.