
Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima dua aduan pertikaian perusahaan antara MCBA dengan NUBE berkaitan bantuan perayaan pada 5 Feb lalu dan isu rundingan Perjanjian Kolektif ke-20 (bagi tempoh 1 Jan 2024 hingga 31 Dis 2026) pada 3 April.
Kenyataan itu memaklumkan bagi isu bantuan perayaan, JPPM mengambil tindakan selaras peruntukan bawah Seksyen 18(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 iaitu mengadakan mesyuarat rundingan damai bagi mencari jalan penyelesaian berhubung isu dipertikai pada 19 Feb, 21 Mac dan 27 Mac.
“Namun tiada sebarang penyelesaian dapat dicapai oleh kedua-dua pihak dan pada 3 April lepas, pihak MCBA telah memaklumkan kepada JPPM bahawa bayaran bantuan perayaan telah dilaksanakan pada 2 dan 3 April kepada pekerja-pekerja di bawah skop keanggotaan NUBE iaitu satu bulan gaji kepada pekerja kategori bukan perkeranian dan 0.5 bulan gaji kepada pekerja kategori perkeranian dan gred Khas,” katanya.
Menurut JPPM, bayaran itu turut dipanjangkan kepada pekerja kategori pegawai bawah skop keanggotaan Persatuan Pegawai-Pegawai Bank Semenanjung Malaysia sebanyak RM1,500.
Menurut kenyataan itu, walaupun bayaran bantuan perayaan dilaksanakan, pihak NUBE didakwa masih meneruskan tindakan bantahan dan serangan melalui platform media sosial dan MCBA berpandangan tindakan tersebut tidak selaras Prosedur Rundingan Perjanjian Kolektif ke-20 yang dipersetujui pada 22 Jan lalu.
Kenyataan itu juga menyebut pihak MCBA, melalui surat bertarikh 3 April, meminta JPPM merujuk isu bantuan perayaan ke Mahkamah Perusahaan.
Justeru, Menteri Sumber Manusia Steven Sim merujuk aduan tersebut ke Mahkamah Perusahaan bawah Seksyen 26(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pada 16 April lalu untuk suatu keputusan kerana kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian berhubung isu berkenaan.
Bagi perjanjian kolektif, kenyataan itu memaklumkan JPPM telah dua kali mengadakan mesyuarat rundingan damai iaitu pada 15 dan 23 April lalu namun tidak dihadiri oleh pihak NUBE walaupun MCBA masih mahu meneruskan perundingan bagi menyelesaikan isu tersebut.
Menurut JPPM, ketidakhadiran pihak NUBE dalam mesyuarat rundingan damai itu menyebabkan rundingan perjanjian kolektif menemui jalan buntu.
“Pihak MCBA telah memaklumkan kepada pihak JPPM melalui surat bertarikh 16, 24 dan 26 April 2024 bahawa tidak dapat sebarang penyelesaian isu Perjanjian Kolektif ke-20 dan meminta agar dapat rujukan selanjutnya ke Mahkamah Perusahaan untuk satu penyelesaian,” katanya.
Sehubungan itu, Sim merujuk aduan pertikaian perusahaan tersebut ke Mahkamah Perusahaan bawah Seksyen 26(2) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pada 29 April lalu untuk suatu keputusan yang adil dan saksama bagi menjaga kebajikan pihak terlibat.
Menurut JPPM, tiada sebarang perjumpaan atau rundingan dibuat oleh Sim bersama pihak MCBA berkaitan isu bantuan perayaan mahupun perjanjian kolektif bersama MCBA dan NUBE.
“Pertikaian ini diuruskan secara profesional oleh JPPM selaras peruntukan perundangan bawah Akta 177,” menurut kenyataan itu.