
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata individu itu diminta hadir memberi keterangan di Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman pada 11 pagi.
Katanya, siasatan dijalankan susulan satu laporan dibuat peguam ahli perniagaan yang juga Pengasas Berjaya Corporation, Vincent Tan berhubung artikel berunsur fitnah bertajuk ‘Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg’.
“Berdasarkan laporan, artikel itu didakwa mengandungi pernyataan palsu, tidak benar, tidak beralasan dan tidak disahkan.
“Oleh itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya kepada pemberita, menurut Harian Metro.
Razarudin berkata, polis juga akan merakam keterangan beberapa individu lain termasuk Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting, Lim Kok Thay berhubung perkara itu.
Katanya, USJT sudah menghubungi mereka untuk menetapkan tarikh bagi proses rakaman keterangan.
Terdahulu, beberapa pihak menggesa kerajaan menyaman dua agensi media asing berhubung laporan penerbitan artikel berniat jahat mengenai rancangan pembangunan kasino di Forest City.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg mengenai perkara itu.