Boleh laksana BRT jika ada stesen utama kereta api di PJ, kata pakar

Boleh laksana BRT jika ada stesen utama kereta api di PJ, kata pakar

Pakar pengangkutan Rosli Khan berkata dua stesen sedia ada tidak sesuai kerana sukar dicapai pengguna.

Sistem Transit Aliran Bas (BRT) pertama di negara dilancarkan pada 2015 dengan penyediaan bas dihubungkan perkhidmatan LRT dan komuter KTM.
PETALING JAYA:
Sistem Transit Aliran Bas (BRT) hanya boleh berfungsi melancarkan pergerakan ramai jika diintegrasikan dengan sebuah stesen mod kereta api, kata pakar pengangkutan.

Sebelum ini, Amanah Petaling Jaya mencadangkan pelaksanaannya sebagai langkah jangka pendek menggantikan Lebuh Raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) yang pembinaannya dibatalkan kerajaan, bulan lalu.

Rosli Khan berkata, dua stesen sedia ada iaitu Komuter KTM Datu Harun dan LRT Seri Setia sepatutnya boleh digunakan bagi tujuan itu tetapi keadaan kawasan terbabit tidak ‘mengizinkan’ dengan adanya jejantas dan lebuh raya yang sibuk.

Rosli Khan.

“Tumpuan ke arah memudahkan penggunaan kemudahan mod pengangkutan kereta api tidak dirancang dengan baik dan kurang teratur. Misalnya tiada stesen lain lebih hampir dengan PJ Old Town serta memberi khidmat kepada penduduk di Seksyen 1-6 dan PJS 1-3.

“Sebenarnya ini kawasan utama memerlukan perkhidmatan pengangkutan awam yang infrastrukturnya telah tersedia tetapi stesen dan sambungan tidak disiapkan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, stesen kereta api wajar dijadikan ‘nukleus utama’ bagi segala aktiviti komersial, selaras peningkatan tahap kualiti dan perkhidmatan bagi menjamin kemudahan dan keselesaan penduduk setempat.

“Dari stesen itu barulah perancangan untuk BRT atau Sistem Aliran Transit Automasi (ART), bas mini, teksi atau kenderaan jenis ‘personal mobility’ boleh disediakan,” katanya.

Wan Agyl Wan Hassan.

Wan Agyl Wan Hassan, rakan kongsi pengurusan dalam firma perundingan pengangkutan Agyl & Partners pula berpandangan kerajaan bersama pihak berkepentingan perlu merangka strategi dalam mengatasi ‘penghalang’ keberkesanan BRT.

Beliau memberi contoh faktor tabiat budaya pengguna mungkin mendorong ketidakupayaan menarik jumlah penumpang mencukupi melainkan wujudnya langkah serentak yang ‘menjadikan’ penggunaan kereta kurang menarik.

“Atau lebih mahal seperti penetapan ‘caj kesesakan’ atau bayaran parkir tinggi,” katanya.

Katanya, selain pembinaan lorong yang khusus, perlu ada perubahan infrastruktur termasuk reka bentuk semula ruang bandar bagi memastikan stesen mudah diakses dengan mod berjalan kaki atau pengangkutan tidak bermotor.

“Bukan itu sahaja, struktur tambang perlu diseimbangkan dengan kos operasi dan subsidi. Sistem pembayaran dan tiket mesra pengguna yang berfungsi dengan lancar merentas semua mod, baik pengangkutan awam mahu pun tidak bermotor,” katanya.

Pada 2015, Kumpulan Prasarana dan Kumpulan Sunway membangunkan sistem BRT pertama di negara untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dengan penyediaan bas yang dihubungkan dengan perkhidmatan LRT dan komuter KTM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.