
Beliau berkata, kerajaan perpaduan menghargai golongan pekerja di negara ini dan ini dibuktikan menerusi semakan semula kadar gaji minimum melalui Dasar Gaji Progresif dalam usaha memastikan pekerja sektor swasta mendapat gaji seiring daya pengeluaran.
“Penjawat awam ini merupakan petugas barisan hadapan. Kalau kita nak ekonomi negara rancak supaya boleh mewujudkan peluang pekerjaan lebih baik, maka kita perlukan penjawat awam yang mempunyai produktiviti dan kecekapan yang lebih tinggi.
“Maka, dengan penghayatan dan penghargaan yang diberi kepada penjawat awam, saya yakin ia akan memberikan motivasi kepada penjawat awam terus melaksanakan tugas untuk sama-sama membangunkan ekonomi negara,” katanya selepas menghadiri program Suara Anak Madani malam tadi.
Anwar semalam mengumumkan gaji penjawat awam naik lebih 13% bermula Disember ini, antara kadar tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara, melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Mengulas lanjut, Sim berkata, negara mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion tahun lepas hasil daripada dukungan semua pihak termasuk penjawat awam.
“Dengan adanya pelaburan ini, baru ekonomi kita mengembang dan seterusnya akan ada peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik. Jadi, ada hubungan simbiosis ataupun kerjasama, ia bukan suatu persaingan,” katanya.