Pesara rugi RM25,000 ditipu bantuan kerajaan tak wujud

Pesara rugi RM25,000 ditipu bantuan kerajaan tak wujud

Polis menerima laporan polis daripada mangsa berusia 78 tahun pada 17 April lalu.

Menurut polis, suspek yang kini diburu polis dikesan mempunyai 31 rekod jenayah dan aktif menjadikan warga emas sebagai sasarannya sejak 10 tahun lalu.
PETALING JAYA:
Seorang pesara mengalami kerugian RM25,000 selepas diperdaya kegiatan penipuan bantuan kerajaan tidak wujud, dalam kejadian baru-baru ini.

Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Jaafar@Ismail, berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian terbabit pada 17 April lalu daripada mangsa berusia 78 tahun itu.

Katanya, mangsa pada mulanya didatangi seorang lelaki warga tempatan yang menawarkan untuk menguruskan bantuan kerajaan.

“Suspek telah mengambil mangsa di rumahnya di Seapark sebelum membawanya ke sebuah bank tempatan dengan menaiki kenderaan jenis Lamborghini warna hijau.

“Suspek telah meminta mangsa untuk mengeluarkan wang simpanan sebanyak RM25,000 dan menyerahkan wang tunai tersebut.

“Mangsa kemudian dibawa ke sebuah bank di kawasan Kepong sebelum ditinggalkan. Suspek telah menghilangkan diri,” katanya, menurut Sinar Harian.

Shahrulnizam berkata, suspek yang dikesan memiliki 31 rekod jenayah itu turut menawarkan peluang pelaburan dengan kerajaan negeri dan mangsa berminat akan mengeluarkan wang mereka.

“Sehingga kini terdapat lima kes dilaporkan di Petaling Jaya membabitkan kerugian RM395,000. Suspek juga disyaki aktif menjadikan warga emas sebagai sasaran penipuannya sejak 10 tahun lalu.

“Dia juga pernah dituduh di mahkamah sebelum ini,” katanya.

Berikutan itu katanya, polis sedang memburu individu dikenali sebagai Lau Kah Wing berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes itu.

“Alamat terakhir lelaki itu adalah di Damansara Suria, Taman Kip, Kuala Lumpur.

“Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat berkenaan kes ini kepada pegawai penyiasat S Gashwinpal Singh di talian 016-3649168,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.