
Anwar berkata pelaburan dimaklumkan CEO Microsoft Satya Nadella dalam pertemuan mereka di Putrajaya adalah yang terbesar selama 32 tahun syarikat gergasi itu bertapak di negara ini.
Menurutnya, pelaburan itu meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan dan Kecerdasan Buatan (AI) dan mewujudkan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang.
“(Pelaburan turut membabitkan) Penubuhan Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Anwar yang juga menteri kewangan menjelaskan pelaburan itu membuktikan keyakinan kepada asas ekonomi negara kukuh, dasar-dasar jelas dan terarah, selain mesra pelabur serta kestabilan politik.
“Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara,” katanya.
Anwar dan Satya juga turut menghadiri Forum Kepimpinan Nasional AI di mana kedua-duanya berdialog teknologi AI dan perancangan kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan.
“Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya.