Mayat lelaki bertatu terapung dipercayai mangsa bunuh, kata polis

Mayat lelaki bertatu terapung dipercayai mangsa bunuh, kata polis

Polis berkata hasil bedah siasat mendapati ada kesan retak di kepala dan patah tulang rahang ketika mangsa masih hidup.

Anggota bomba dan polis mengangkat mayat seorang lelaki ditemui terapung dan mereput dekat Sungai Linggi pada Sabtu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mayat lelaki ditemui terapung dan mereput dekat Sungai Linggi, Jalan Paroi-Senawang, Negeri Sembilan pada Sabtu lalu dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Seremban Mohamad Hatta Che Din berkata hasil bedah siasat mendapati ada kesan retak di kepala dan patah tulang rahang ketika mangsa masih hidup.

Justeru katanya kes diklasifikasikan kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata mayat itu ditemui orang awam melalui kawasan berkenaan yang terhidu bau busuk dan ternampak mayat terapung di sungai kira-kira 2 petang Sabtu lalu.

“Mayat berseluar panjang tanpa baju dan mempunyai tatu pada lengan kiri, kanan dan dada. Tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada si mati,” katanya menurut Harian Metro.

Hatta meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat supaya menghubungi pegawai penyiasat Saufi Malik di talian 011-2062 5464 atau IPD Seremban 06-6033222 bagi membantu siasatan.

Media sebelum ini melaporkan satu mayat ditemui seorang lelaki 63 tahun yang sedang menjala ikan di sungai berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.