Mat Sabu gembira harga ayam, sayur stabil ketika Ramadan, Syawal

Mat Sabu gembira harga ayam, sayur stabil ketika Ramadan, Syawal

Mohamad Sabu berkata tiada kenaikan mendadak harga barang basah khususnya ayam, telur dan sayur-sayuran dikesan pada musim perayaan kali ini.

mat sabun
Mohamad Sabu berkata kerjasama semua pihak daripada kerajaan, swasta dan orang ramai menyebabkan harga barangan tidak melambung ketika Ramadan serta Syawal lalu.
SERDANG:
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata tiada kenaikan mendadak harga barang basah khususnya ayam dan sayur-sayuran sepanjang Ramadan dan Syawal yang lalu.

Mohamad berkata kerjasama semua pihak daripada kerajaan, swasta mahupun orang ramai yang terlibat membolehkan semua berpeluang menikmati harga barangan yang sederhana walaupun ketika musim perayaan.

“Paling menggembirakan sambutan Ramadan dan Syawal tahun ini tidak berlaku kenaikan mendadak harga barang khasnya ayam dan sayur-sayuran.

“Sungguhpun ikan kadang-kala ada sedikit naik sana sini, tapi secara umumnya harga ayam, telur dan sayur-sayuran di pasaran tidak melambung kali ini,” katanya pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Sementara itu, Mohamad juga menasihatkan orang ramai mencontohi Thailand yang mengamalkan tabiat tidak membazir dalam mengadakan sesuatu majlis.

Katanya, langkah itu perlu memandangkan Malaysia dilaporkan antara negara yang mempunyai pembaziran makanan tinggi, iaitu kira-kira 12,000 tan sehari.

“Mereka memberi makanan yang cukup dan tidak secara berlebih-lebihan. Tabiat makanan tidak dihabiskan maka dibuang itu perlu hentikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.