Jakim buka talian khas terima aduan hina Islam

Jakim buka talian khas terima aduan hina Islam

Orang ramai boleh membuat aduan menerusi talian WhatsApp dan emel.

Jakim juga akan bekerjasama dengan pihak-pihak lain yang berkaitan, termasuk jabatan agama negeri, polis dan SKMM untuk menangani isu penghinaan agama Islam. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) telah mewujudkan talian khas 24 jam sebagai platform menyalurkan aduan berkaitan isu penghinaan terhadap agama Islam, termasuk yang dicetuskan menerusi media sosial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jakim juga akan bekerjasama dengan jabatan agama negeri, polis, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) serta pihak berkaitan untuk menangani isu penghinaan agama Islam.

“Masyarakat awam boleh membuat aduan serta laporan berkaitan apa-apa isu penghinaan terhadap agama Islam di talian WhatsApp 017-3234533 atau e-mel ke [email protected],” katanya dalam kenyataan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) secara konsisten memberikan penegasan akan sentiasa memelihara kesucian serta ketinggian agama Islam. Mana-mana pihak yang didapati melakukan sebarang tindakan menghina Islam perlulah dibawa ke muka pengadilan sebagai pengajaran kepada semua pihak.”

Mohd Na’im turut menyeru semua pihak untuk sentiasa bertanggungjawab dalam setiap tindakan bagi memelihara perpaduan dan keharmonian dalam negara.

“Apa-apa bentuk provokasi dan tindakan ekstrem perlu dihentikan. Perpaduan ialah nikmat yang perlu dipertahankan demi mencapai cita-cita Membangun Malaysia Madani,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.