Gaji tertunggak tak dibayar, kakitangan MYAirline hadapi tempoh sukar

Gaji tertunggak tak dibayar, kakitangan MYAirline hadapi tempoh sukar

Kakitangan syarikat penerbangan itu berdepan kesempitan kewangan sementara menanti gaji mereka yang tertunggak dibayar.

myairline
Ketika MYAirline meneruskan usaha mencari pelabur baharu, kakitangannya berdepan cabaran untuk menampung kehidupan tanpa sebarang pendapatan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tempoh sepanjang tujuh bulan lepas ialah masa yang suram bagi kakitangan MYAirline Sdn Bhd.

Syarikat penerbangan itu, yang menggantung operasinya pada 12 Okt lepas, masih belum membayar gaji kepada kakitangannya walaupun telah berjanji untuk berbuat demikian.

Kakitangan syarikat itu, yang enggan namanya disiarkan, memberitahu FMT, slip gaji mereka masih menunjukkan potongan wajib dibuat.

Bagaimanapun, kata mereka, semakan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendedahkan bahawa potongan gaji mereka tidak disalurkan kepada agensi-agensi tersebut.

Ketika dihubungi FMT, jurucakap MYAirline Azharuddin Abdul Rahman berkata, syarikat itu sedang “menyelesaikan semua isu secara dalaman”, tanpa mengulas lanjut.

Kakitangan syarikat penerbangan itu juga mendakwa, mereka dijanjikan bahawa gaji mereka yang tertunggak akan dibayar. Bagaimanapun, mereka masih belum menerima sebarang gaji yang terhutang sejak syarikat itu menggantung operasi.

Seorang kakitangan yang hanya ingin dikenali sebagai Y berkata, beliau tidak pasti tentang kedudukannya dalam syarikat tersebut, walaupun diberitahu akan kekal sebagai kakitangan MYAirline. Hal ini kerana beberapa kakitangan telah menerima surat yang menyatakan mereka bukan lagi kakitangan syarikat tersebut mulai 1 Mei.

Y berkata, kakitangan MYAirline tidak mendapat sebarang makluman sejak syarikat itu menggantung operasinya, malah tiada sebarang kemas kini tentang bila gaji mereka akan dibayar.

Seorang lagi individu, Z memberitahu FMT, kebanyakan kakitangan memilih untuk kekal dengan MYAirline kerana prospek untuk mendapatkan pekerjaan lain dalam industri penerbangan adalah malap.

“Syarikat penerbangan lain tidak bersedia menawarkan kami gaji yang sama seperti yang kami dapat di MYAirline,” katanya.

Hal ini meletakkan kakitangan syarikat itu dalam kedudukan yang sukar, tambahnya.

Menurut Z, ramai kakitangan kini mengalami kesempitan dari segi kewangan tanpa prospek mendapatkan pekerjaan lain.

“Walaupun ada tawaran kerja, ia lebih berkemungkinan bagi jawatan junior yang hanya menawarkan separuh daripada gaji yang kami terima di MYAirline,” katanya.

Z berkata, wang simpanannya telah habis, menyebabkan beliau terpaksa menjual salah satu rumahnya.

Beliau juga tidak mampu menghantar anaknya melanjutkan pelajaran kerana semua asetnya telah dicairkan untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.

Seorang lagi kakitangan, M berkata, beliau terpaksa berpindah ke rumah ibu bapanya setelah semua wang simpanannya habis sejak MYAirline menggantung operasi.

Menurutnya, keadaan beberapa rakan sekerjanya malah lebih teruk.

“Kereta mereka ditarik kerana mereka tidak mampu membayar ansuran bulanan pinjaman,” katanya.

Ada juga yang telah diusir dari rumah kerana gagal membayar sewa selama beberapa bulan, tambahnya.

MYAirline menggantung operasinya secara mengejut pada 12 Okt tahun lepas, hanya 11 bulan selepas melancarkan penerbangan sulungya, memetik “cabaran kewangan yang teruk”.

Bernama melaporkan pada Januari, syarikat itu telah menandatangani perjanjian jual beli dengan pelabur dari Timur Tengah pada bulan sebelumnya.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan sebulan kemudian bahawa bakal pelabur itu menarik diri daripada perjanjian itu.

Pada Mac, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa MYAirline mengutamakan pembayaran tunggakan gaji berbanding menunggu pelabur baharu.

Jumaat lepas, Azharuddin berkata, MYAirline masih berbincang dengan beberapa pelabur yang berminat dan berharap dapat memeterai perjanjian tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.