
Julia Roknifard, penolong profesor di University of Nottingham berkata, sekatan langsung mungkin tidak dikenakan memandangkan kedudukan Malaysia di Asia Tenggara dan pembangunan lain di rantau ini yang melibatkan China.
Bagaimanapun, mungkin ada beberapa “mekanisme belakang tabir” untuk mengenakan tekanan, termasuk langkah punitif ekonomi ‘lembut’ seperti mengehadkan pelaburan asing langsung atau memastikan syarikat swasta keluar dari Malaysia.
“Bukan mudah untuk mengenakan sekatan atau terus mengabaikan Malaysia disebabkan pembangunan geopolitik di Asia Tenggara, khususnya di Laut China Selatan,” katanya kepada FMT.
Asia Tenggara ialah ‘medan tempur’ bagi persengketaan Amerika Syarikat dengan China, apabila dua kuasa besar itu bersaing untuk menguasai negara-negara di rantau ini.
Ketegangan antara AS dan China di Laut China Selatan berterusan sejak beberapa tahun dan semakin sengit sejak sedekad lepas akibat peningkatan kegiatan ketenteraan dan pembinaan oleh Beijing di kawasan wilayah dipertikaikan.
Dalam usaha mencabar tuntutan maritim China, dan menegaskan prinsip kebebasan pelayaran bawah undang-undang antarabangsa, AS memulakan operasi kebebasan pelayaran pada 2015, yang menyumbang kepada peningkatan ketegangan di rantau ini.
Roknifard berkata, Malaysia tersepit antara AS dan China dan lebih cenderung mengekalkan keseimbangan antara dua kuasa besar itu.
“Malaysia tidak berminat dengan mana-mana daripada dua kuasa ini mengundur dari rantau ini kerana turut mahu meraih manfaat daripada persaingan antara mereka,” katanya.
“Jika AS mengabaikan Malaysia dan mengenakan sekatan, seterusnya memasukkannya dalam penyokong ‘paksi jahat’ Hamas atau Iran, ini akan mewujudkan vakum yang lambat-laun akan diisi oleh China.”
Pada 15 April, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyokong keputusan Iran melancarkan serangan dron terhadap Israel dengan menyifatkannya sebagai ‘tindakan sah’.
Pakar geostrategi Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, sokongan Malaysia terhadap Iran bukanlah luar biasa kerana kebanyakan negara pasti memahami hak Iran untuk mempertahankan diri, memandangkan Israel menyerang misi diplomatiknya.
“Malaysia melihat Iran sebagai antara negara yang dibuli Israel, dan secara tidak langsung, AS. Disebabkan itulah kita sangat lantang menunjukkan sokongan,” katanya.
“Ia sama seperti sokongan kita terhadap Gaza. Perdana menteri kita secara terbuka berkomunikasi dengan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, bukan sekali malah dua kali. Jadi saya tidak melihat sebab untuk kita bimbangkan keselamatan kita kerana menunjukkan sokongan terhadap Iran.”