Ibu bapa lebih terlibat pembelajaran anak autisme selepas wabak

Ibu bapa lebih terlibat pembelajaran anak autisme selepas wabak

Pakar berkata, ibu bapa belajar cara menguruskan anak autisme dengan lebih baik ketika wabak, selain lebih terbuka bekerjasama dengan ahli terapi.

Selepas terlibat dengan sesi terapi dalam talian, ibu bapa didapati lebih terbuka kepada latihan kerana menyedari mereka juga boleh mengendalikan anak autisme dengan sokongan yang betul. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Ibu bapa semakin terlibat dalam perjalanan pendidikan dan perkembangan anak-anak autisme susulan wabak Covid-19.

Pengasas Proud Kids Care Centre Khaw Kai Li berkata, ibu bapa lebih cenderung menghadiri sesi latihan anjuran pusat itu selepas mendapat pemahaman yang lebih mendalam tentang autisme melalui sesi telekesihatan, kaedah menyampaikan perkhidmatan penjagaan kesihatan dari jauh, semasa wabak.

Katanya, ketika sesi Zoom, pakar melakukan terapi Analisis Tingkah Laku Gunaan (ABA), kaedah intervensi berasaskan bukti yang menyasarkan peningkatan dalam pertuturan, komunikasi, kemahiran sosial dan tingkah laku.

“Sebelum ini, ibu bapa menyangka mereka tidak dilengkapi (dengan kemahiran) menguruskan keperluan anak mereka,” katanya.

“Bagaimanapun, selepas terlibat dengan sesi terapi dalam talian, mereka kini lebih terbuka kepada latihan kerana menyedari mereka juga boleh mengendalikan anak mereka dengan sokongan yang betul.”

Khaw, seorang penganalisis tingkah laku berkata, ibu bapa perlu mengambil bahagian secara aktif pada sesi terapi dalam talian ketika wabak, kerana anak-anak mereka tidak dapat mengikuti pelajaran secara sendiri.

“Kami memberikan bantuan kepada ibu bapa, membimbing mereka dengan cara yang betul untuk mengendalikan anak mereka,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa belajar mengurus tingkah laku anak-anak mereka dan memberikan arahan yang sesuai untuk memastikan anak-anak terlibat semasa sesi pelajaran dalam talian, yang meningkatkan keyakinan mereka mengendalikan anak autisme.

Penyelia kes Autism Behavioral Center Audrey Ooi turut menyedari peningkatan penglibatan ibu bapa selepas wabak kerana mereka perlu lebih praktikal dengan anak-anak mereka semasa wabak.

“Terdapat kes di mana ibu bapa akhirnya menjadi lebih terlibat kerana mereka lebih berjaya (mengurus tingkah laku anak-anak) dan dapat lebih banyak membantu anak-anak mereka di rumah.

“Mereka mula belajar lebih banyak lagi dan tahu cara menguruskan anak-anak dengan lebih baik. Jadi selepas wabak, mereka dapat terus mengikuti usaha (ahli terapi),” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa lebih bersedia untuk menyertai latihan setiap dua minggu, memerhatikan sesi terapi dan secara beransur-ansur melibatkan diri secara langsung dengan program anak-anak mereka, dengan bimbingan dan penjelasan daripada ahli terapi apabila diperlukan.

Mengajar anak autisme selepas wabak

Khaw berkata, walaupun pusatnya menyambung semula sesi terapi fizikal selepas wabak, ia turut mengguna pakai slaid PowerPoint dan imej dalam talian daripada sesi Zoom.

“Segelintir (pelajar) autisme kami tidak mempunyai kemahiran membuat generalisasi dalam pembelajaran mereka, jadi lazimnya kami menggunakan tiga set asas kad pembelajaran,” katanya.

“Namun, ketika wabak, ahli terapi dapat menggunakan gambar yang berbeza dalam slaid. Fleksibiliti menggunakan imej, slaid dan video dalam talian membolehkan anak berlatih menggunakan bahan pembelajaran yang berbeza.”

Sementara itu, Ooi berkata, pusatnya juga menyediakan pilihan kepada ibu bapa untuk belajar daripada video yang disediakan sekiranya mereka tidak dapat menghadiri latihan.

Ibu bapa boleh menonton dan meneruskan program itu di rumah, merakam diri dengan anak-anak dan mendapatkan maklum balas daripada pasukan terapi.

Pusat itu juga melakukan perundingan dalam talian untuk keluarga yang berada di luar Lembah Klang atau yang kurang berkemampuan.

“Ia akan menjadi seperti perkhidmatan telekesihatan, jadi ibu bapa dapat berlatih dengan anak-anak di rumah,” katanya.

Menurut Ooi, harga sesi perundingan dalam talian 60-80% lebih murah daripada sesi fizikal, yang boleh menelan belanja ribuan ringgit sebulan.

Tahun lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kos intervensi bagi autisme akan dimasukkan dalam skop pelepasan cukai pendapatan untuk perbelanjaan perubatan, terhad kepada RM4,000.

Ooi berkata, ini satu langkah yang baik untuk mengurangkan beban kewangan ibu bapa yang mempunyai anak autisme, tetapi lebih banyak boleh dilakukan untuk meningkatkan kesedaran.

“Sangat bagus jika terapi ABA dapat diiktiraf dengan lebih meluas, mungkin melalui perkongsian sesama ibu bapa, pensijilan ahli terapi, dan usaha kerajaan menganjurkan lebih banyak ceramah tentang anak-anak berkeperluan khas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.