Anwar hargai lelah pekerja gig, seru segera tubuh suruhanjaya

Anwar hargai lelah pekerja gig, seru segera tubuh suruhanjaya

Perdana menteri berkata keprihatinan lebih perlu diberikan bagi penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

rider
Anwar Ibrahim gesa disegerakan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig kerana mahu mereka diwakili.
PETALING JAYA:
Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig perlu disegerakan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, penting memberi perhatian dan keprihatinan yang lebih kepada pekerja bagi sektor tersebut.

“…kenalah fikir – penjawat awam ada KPPA (ketua pengarah perkhidmatan awam), ada KSN (ketua setiausaha negara), dan kesatuan Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam), jangan lupa MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia).

“…tetapi ada yang tidak diwakili langsung. Sebab itu Suruhanjaya Pekerja Gig Malaysia itu perlu dan minta disegerakanlah supaya diberikan perhatian yang lebih,” katanya menurut Bernama ketika berucap pada majlis sambutan Hari Pekerja 2024 di Putrajaya.

Anwar berkata, ia turut melibatkan pemandu teksi yang sudah lama memberikan sumbangan, namun kadang-kadang ketinggalan dari sudut tekanan perubahan masa.

“Jadi, kita harus berikan perhatian, termasuk OKU (orang kurang upaya), wanita dan warga emas, pesara, termasuk sebahagian daripada bekas-bekas banduan,” katanya.

Anwar berkata, beliau menghargai penat lelah semua pekerja di pelbagai peringkat termasuk dalam ekonomi gig.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, kajian sedang dilakukan berkait Suruhanjaya Pekerja Gig dengan kerjasama Universiti Malaya (UM), sebelum laporan interim dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri menjelang 1 Jun.

“Selepas itu, dalam masa dua atau tiga bulan kita akan membentangkan laporan penuh tentang fungsi, perundangan, keahlian, implikasi kewangan, bidang kuasa dan sebagainya,” katanya kepada media.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan perdana menteri ketika majlis penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 pada 2 Mac lalu bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig terutama dalam kalangan anak muda.

Mengenai perkembangan kajian kadar gaji minimum, Sim berkata ia dijangka dilaksanakan dalam tahun ini.

Beliau berkata kajian teknikal mengenai perkara itu telah siap dan akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Perundingan Gaji Negara dalam masa terdekat dan seterusnya kepada Jemaah Menteri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.