
KPM berkata, perkara yang disentuh dalam laporan Bank Dunia bertajuk “Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills” baru-baru ini, termasuk kualiti dan akses pendidikan prasekolah, kecekapan murid serta pembangunan profesionalisme guru sememangnya dalam perhatiannya.
“Kelas prasekolah akan diperluaskan di seluruh institusi pendidikan KPM. Peluasan kelas prasekolah memastikan isu keciciran murid dapat ditangani dari peringkat awal,” kata KPM dalam kenyataan.
Bank Dunia dalam laporan terbaharunya mendedahkan hanya 58% murid mahir membaca pada usia darjah 5 dan Malaysia masih jauh ketinggalan walaupun membelanjakan 3.2% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam sektor pendidikan.
Laporan itu turut menyerlahkan ketidakcekapan membimbangkan dengan pelajar Malaysia menghabiskan purata 12.5 tahun di sekolah, tetapi pembelajaran hanya bersamaan 8.9 tahun berbanding pelajar Vietnam yang purata menghabiskan tempoh sama di sekolah seperti Malaysia, namun mencapai 10.7 tahun kualiti pembelajaran.
Antara punca dikenal pasti ialah akses terhad kepada pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti, kesediaan guru dan kekurangan sistem penjejakan prestasi berkesan.
Justeru, Bank Dunia mencadangkan kerajaan memperluaskan akses dan kualiti pendidikan prasekolah, melaksanakan penilaian pembelajaran dan menyediakan pembangunan profesional berterusan untuk guru berdasarkan amalan terbaik antarabangsa.
Semalam, bekas menteri persekutuan, Rafidah Aziz yang bimbang dengan laporan Bank Dunia itu menggesa kerajaan segera merombak kandungan pengajaran, menyemak struktur dan dasar dalam sektor pendidikan bagi mengurangkan jurang sedia ada.
KPM berkata, tumpuan turut diberi kepada pembangunan profesionalisme guru dengan menawarkan pelbagai program bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru, terkini ialah Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP).
“KPM komited memastikan hasrat untuk mereformasikan pendidikan negara berjaya. Ia adalah usaha berterusan yang memerlukan komitmen, kerjasama dan sokongan semua pihak.”