Penyelia, pembantu pusat pemulihan tukar pengakuan tak salah pukul pelatih

Penyelia, pembantu pusat pemulihan tukar pengakuan tak salah pukul pelatih

M Jason Jai Ganesh, 48, dan Kelvin Raymond, 26, menukar pengakuan bersalah kepada tidak bersalah ketika sebutan semula kes hari ini.

M Jason Jai Ganesh
M Jason Jai Ganesh (dua dari kanan) dan Kelvin Raymond (dua dari kiri) di Mahkamah Sesyen Seremban semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyelia dan pembantu sebuah pusat pemulihan dadah swasta menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan menyebabkan seorang pelatih pusat itu cedera parah bulan lalu.

Sinar Harian melaporkan M Jason Jai Ganesh, 48, dan Kelvin Raymond, 26, mengubah pengakuan mereka di depan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi ketika sebutan semula untuk serahan laporan perubatan serta hukuman hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya didakwa secara bersama sengaja menyebabkan seorang lelaki 38 tahun cedera parah menggunakan paip polyvinyl chloride (PVC) di pejabat pengurusan pusat pemulihan di Lenggeng kira-kira 11 pagi 19 Mac lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Peguam Patrick Samuel dalam rayuannya memohon mahkamah menawarkan jaminan rendah kerana kedua-dua ibu bapa tertuduh tidak bekerja dan mereka keluarga miskin.

Hakim membenarkan ikat jamin RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 21 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.