
Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Aida Arifin mengakui perkara itu ketika disoal balas peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.
Saksi pendakwaan ke-49 itu berkata, Najib, dalam kapasitinya sebagai menteri kewangan pada masa itu, membentangkan memorandum pada 13 Mac 2013 untuk mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri.
Najib menandatangani surat sokongan pada hari berikutnya untuk 1MDB Global Investment Limited (1MDB GIL), anak syarikat 1MDB, menerbitkan bon itu.
Dalam keterangannya, Aida juga bersetuju bahawa Najib tidak mempunyai kepentingan peribadi ketika membentangkan memorandum kepada Jemaah Menteri untuk meminta dana itu dikumpul dalam pasaran kewangan.
Wan Azwan: Saya menyatakan kepada anda bahawa Najib tidak mempunyai kepentingan peribadi apabila beliau menyerahkan memorandum kepada Kabinet.
Aida: Ya.
Wan Azwan: Tetapi anda telah berkata sebelum ini bahawa tindakan Najib menandatangani surat sokongan adalah salah guna kuasa.
Aida: Ya.
Dalam kenyataan pembukaannya yang dibacakan pada 28 Ogos 2019, pihak pendakwaan mendakwa 1MDB telah menjalin usaha sama dengan Aabar, anak syarikat IPIC, untuk menjalankan perniagaan di Tun Razak Exchange di Kuala Lumpur.
Sejumlah USD3 bilion ingin dikumpul untuk usaha itu dan Goldman Sachs bertindak sebagai pengatur bon berkenaan.
Kenyataan itu mendakwa bahawa untuk mengelak dikesan, sejumlah USD681 juta daripada USD3 bilion itu disalurkan melalui saluran yang rumit dan dimasukkan ke dalam akaun bank Najib dalam sembilan peringkat antara 21 Mac 2013 dan 10 April 2013.
Jumlah USD681 juta itu adalah perkara yang menjadi pertuduhan penyalahgunaan kuasa ketiga yang dihadapi Najib.
Pada September 2022, bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan Siti Zauyah Desa memberi keterangan bahawa surat sokongan yang dikeluarkan Putrajaya untuk mendapatkan bon USD3 bilion telah dilakukan secara tergesa-gesa.
Katanya, sepanjang beliau berkhidmat dengan Kementerian Kewangan selama 25 tahun, ia adalah kali pertama sebuah transaksi dilakukan dengan cara yang ‘tidak normal’.
Siti Zauyah berkata kepantasan urus niaga itu dijalankan menyebabkan kementerian gagal mengikut prosedur yang betul, termasuk menjalankan usaha wajar terhadap pelaburan yang dicadangkan dan merangka aliran tunai yang diunjurkan.
Najib sedang dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram ke atas dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah telah ditangguhkan ke Khamis.