Malaysia sedia kerjasama dengan negara lain rawat rakyat Palestin cedera

Malaysia sedia kerjasama dengan negara lain rawat rakyat Palestin cedera

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, Malaysia juga terbabit dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Anwar Ibrahim menemui Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani di luar mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia di Riyadh pada Isnin. (Gambar Bernama)
RIYADH:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menzahirkan kesediaan Malaysia bekerjasama dengan Qatar dan negara lain di rantau Asia Barat bagi memberi rawatan kepada rakyat Palestin cedera akibat keganasan rejim Zionis.

Perkara itu dimaklumkan Anwar kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani semasa kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan dua hala di luar mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini.

Pada pertemuan itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan Malaysia kepada Qatar atas peranan negara itu membantu usaha membawa keluar rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron dari Gaza pada November 2023.

Nurul Ain bersama suaminya, Mohamed AM Shaat yang juga warga Palestin, selamat tiba di Malaysia pada 14 Nov lalu selepas dibawa keluar dari kawasan konflik melalui Lintasan Sempadan Rafah.

Anwar turut menyuarakan sokongan terhadap peranan Qatar sebagai pengantara dalam isu Palestin.

Beliau memaklumkan Malaysia juga terbabit dalam usaha menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Setakat ini, Malaysia menerbangkan 100 tan barangan bantuan ke kawasan konflik itu, 20 tan lagi dihantar menerusi jalan laut, manakala 1,500 tan diagihkan melalui badan bukan kerajaan.

Beliau turut memaklumkan rakan sejawatnya itu berhubung kunjungannya ke Doha bagi menghadiri Forum Ekonomi Qatar pada pertengahan bulan depan.

Perbincangan dua pemimpin itu menyentuh peluang meningkatkan pelaburan di Malaysia dan Qatar, selain melonjakkan hubungan perdagangan dua hala yang kini bernilai USD910 juta (RM4.34 bilion).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.