
Diterajui oleh ikon artis Awie, Khatijah Ibrahim, Ramli Sarip dan Rahimah Rahim, acara mengumpul dana ‘Legends’ anjuran Karyawan akan diadakan di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 2 Jun. Majlis makan malam berserta persembahan itu bertujuan membantu mereka yang mungkin berdepan masalah kesihatan dan cabaran kewangan.
Dalam kenyataan, Presiden Karyawan Freddie Fernandez berkata, keempat-empat artis itu ialah legenda tersendiri dan mempunyai kumpulan peminat yang setia.
“Awie, Khatijah, Ramli dan Rahimah telah lama aktif (dalam bidang hiburan) dan kami berbesar hati mengalu-alukan mereka untuk menerajui acara kami kerana mereka akan memastikan (acara tersebut mendapat) sokongan yang meriah, dan memastikan kami memenuhi objektif untuk mengumpul dana yang besar buat rakan-rakan dalam industri yang memerlukan bantuan.
“(Acara) ini menjanjikan persembahan yang hebat kerana mereka akan mengimbau kenangan penonton menerusi lagu-lagu popular dari 1980an hingga ke hari ini,” katanya.
Penyanyi Norshila Amin, Ezlynn, dan Hairie Kool akan membuka persembahan, dan semua penghibur akan diiringi oleh kumpulan muzik daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Pada 28 Mac, FMT menganjurkan sebuah majlis sempena Ramadan di mana 50 artis yang mengalami masalah kewangan menerima RM1,000 setiap seorang sebagai bantuan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Para penerima pada majlis itu termasuk artis-artis legenda Hail Amir; Uji Rashid; Norlia Ghani; Zaiton Sameon; Shima; Ali XPDC; Zaleha Hamid; Sophia Ibrahim; S Atan; dan Shuib (Freedom).
Secara keseluruhannya, bantuan berjumlah RM100,000 telah diserahkan kepada 100 penghibur dan atlet, hasil inisiatif antara FMT dan seorang dermawan yang enggan namanya didedahkan.
Majlis mengumpul dana dan persembahan ‘Legends’
Tarikh: 2 Jun
Lokasi:
Dewan Perdana Felda,
1, Jalan Maktab,
Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur
Tempahan bagi sebuah meja berharga RM2,000 dan RM3,000. Tajaan daripada syarikat dan penderma persendirian turut dialu-alukan:
Penaja Perak: RM5,000
Penaja Platinum: RM10,000
Penaja Berlian: RM100,000
Untuk tempahan dan maklumat lanjut, hubungi Shafiqah di talian 012-416 2962. Ketahui lebih lanjut mengenai Karyawan di sini.