
Mohd Asri berkata, undang-undang syariah menetapkan bahawa mereka yang merosakkan harta orang lain tanpa sebab yang wajar wajib menggantikannya, berikutan laporan vandalisme terhadap beberapa syarikat yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Israel.
Beliau memetik hadis yang menyatakan bahawa sesiapa yang dengan sengaja merosakkan harta benda tanpa menggantikannya dianggap berdosa.
“Jika pelaku tidak menggantikannya, pada Hari Akhirat nanti, amalannya akan diambil sebagai gantian, atau dosa pihak tersebut akan diberikan kepadanya dengan kadar vandalisme yang dilakukan di dunia ini,” katanya kepada FMT.
Dilaporkan minggu lepas bahawa papan iklan McDonald’s di Sungai Petani, Kedah, dirosakkan dengan semburan cat bertulis “Boikot pembunuh”, “Darah Palestin di tangan kamu”, dan “Bebaskan anak Palestin.”
Di Tawau, Sabah pula, sebuah cawangan Starbucks disembur cat bertulis “Boikot” dan “Bebaskan Palestin”.
Mufti Pulau Pinang Wan Salim Nor berkata, walaupun tindakan memboikot syarikat yang dikaitkan dengan musuh umat Islam dibenarkan, ia mesti dilakukan secara sederhana dan dalam lingkungan undang-undang Islam.
“Jika ingin memboikot mana-mana pihak yang dianggap membantu pihak yang memusuhi umat Islam, maka ia hendaklah dilakukan secara sederhana sahaja, kerana sikap ‘ghulu’ atau keterlaluan adalah bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya kepada FMT.
“Ini termasuk dalam erti perbuatan vandalisme yang merosakkan harta awam. (Tindakan sedemikian) merupakan perbuatan haram yang amat tercela pada pandangan Islam tanpa khilaf dalam kalangan ulama, termasuk dalam kategori melakukan kerosakan yang tidak disukai oleh Allah.”
Nazari Ismail, pengerusi BDS Malaysia yang menggalakkan boikot terhadap kepentingan Israel berkata, organisasinya tidak menyokong vandalisme.
Sebaliknya, ia memberikan tumpuan kepada advokasi tanpa kekerasan, katanya.
“Tindakan sedemikian memberikan nama buruk kepada gerakan boikot. Ramai mungkin beranggapan kami bertanggungjawab terhadap (tindakan) vandalisme itu, walaupun kami tiada kaitan dengannya.”
Beliau turut menyuarakan harapan agar ahli dan penyokong organisasinya mematuhi undang-undang apabila menyertai kempen boikot.