Badan Peguam fail semakan kehakiman batal pengampunan Najib dalam kes SRC

Badan Peguam fail semakan kehakiman batal pengampunan Najib dalam kes SRC

Badan Peguam mahu injunksi kekal bagi menghalang Najib Razak atau ejennya daripada memohon pengampunan sehingga semua pertuduhan jenayah terhadapnya selesai.

najib razak
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara Najib Razak daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda RM210 juta kepada RM50 juta. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Badan Peguam memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara dan denda bekas perdana menteri Najib Razak atas sabitan rasuah SRC International.

Menerusi permohonan difailkan Messrs Amir & Rajpal Ghat di Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu, Badan Peguam yang mewakili 22,000 peguam di Semenanjung Malaysia memohon deklarasi bahawa keputusan kolektif lembaga itu menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Ia turut memohon perintah certiorari terhadap lembaga itu bagi membatalkan keputusan berkenaan.

Lembaga itu dan Najib dinamakan responden dalam permohonan terbabit.

Badan Peguam juga mahu injunksi kekal menghalang Najib atau ejennya mengemukakan sebarang permohonan pengampunan atau penangguhan kepada lembaga itu sehingga semua pertuduhan jenayah terhadapnya selesai.

Badan Peguam berkata injunksi itu perlu terus berkuat kuasa sehingga Najib menerima tanggungjawab dan menyuarakan penyesalan atas tindakannya secara terbuka.

Setiausaha Majlis Peguam Murshidah Mustafa memfailkan afidavit untuk menyokong permohonan itu.

Katanya layanan keutamaan diberikan untuk permohonan pengampunan Najib melanggar prinsip kesaksamaan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan tidak rasional berdasarkan undang-undang pentadbiran.

Permohonan itu difailkan berikutan usul diluluskan dengan “majoriti besar” dalam mesyuarat agung tahunan Badan Peguam pada 16 Mac lalu.

Bekas presiden Badan Peguam Zainur Zakaria bersama seorang lagi bekas presiden Yeoh Yang Poh akan mewakili Badan Peguam.

Zainur ketika dihubungi FMT berkata permohonan untuk mendapatkan kebenaran mahkamah ditetapkan pada 7 Julai.

Pada 2 Feb lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman penjara dan denda Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun serta RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang dan akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Setiap negeri mempunyai Lembaga Pengampunan sendiri yang dilantik sultan atau Yang di-Pertua Negeri, kecuali Wilayah Persekutuan yang ahlinya dilantik Yang di-Pertuan Agong.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan diketuai Agong dan dianggotai lima individu iaitu peguam negara, menteri Wilayah Persekutuan dan tiga lagi ahli yang dilantik Agong.

Najib, yang mempunyai tiga lagi kes jenayah lain, memulakan hukuman penjara asal 12 tahun pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Awal bulan ini, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk memaksa kerajaan mendedahkan “perintah tambahan” didakwa daripada bekas Yang di-Pertuan Agong yang membenarkannya menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.

Hakim Amarjeet Singh akan menyampaikan keputusannya pada 5 Jun ini sama ada Najib akan diberi kebenaran untuk mahkamah mendengar merit kesnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.