
Bagaimanapun, seorang pakar keselamatan menggesa agar penilaian yang teliti dijalankan terhadap negara-negara yang terlibat, untuk mengelak keselamatan negara terjejas dan bahaya sosio-ekonomi.
Program visa bersama itu, yang dicadangkan oleh Thailand, akan membolehkan pelancong bebas melakukan perjalanan merentasi Kemboja, Laos, Vietnam, Myanmar, Thailand dan Malaysia.
Cadangan itu disambut baik oleh pakar ekonomi Geoffrey Williams yang berkata, usaha menyepadukan negara-negara Asean melalui inisiatif sedemikian sudah lama tertangguh.
Dengan akses yang lebih mudah ke negara-negara di semenanjung Asia Tenggara, pelancong boleh merancang percutian yang lebih panjang dan tersusun.
“Ini akan menjadi lebih menarik, untuk beberapa negara berkongsi pelancong,” katanya kepada FMT.
Syarikat pelancongan dan rangkaian hotel boleh membangunkan pakej Asean yang lebih luas, dan kesannya akan dirasai dalam industri lain, seperti dalam kalangan pembekal makanan; kakitangan hospitaliti dan penyelenggaraan; peruncit; dan syarikat teknologi, katanya.
Malaysia mencatatkan ketibaan 26.1 juta pelancong pada 2019, memperoleh RM89.4 bilion daripada pelancongan masuk, selain RM92.6 bilion daripada pelancongan domestik. Tahun lepas, lebih 20 juta pelancong datang ke Malaysia, menurut Tourism Malaysia, mengatasi sasaran sebanyak 19.1 juta.
Visa bersama Asean itu dicadangkan oleh Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin, yang membayangkan aturan yang serupa dengan kawasan Schengen tanpa sempadan, meliputi 29 negara di Eropah.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia memerlukan lebih masa untuk mempertimbangkan cadangan itu.
Collins Chong, seorang penganalisis keselamatan dan strategi di Universiti Malaya berkata, risiko keselamatan bergantung kepada negara-negara yang dipilih untuk menikmati visa jenis Schengen ini.
“Penting untuk mengecualikan negara berisiko tinggi agar isu-isu seperti tinggal lebih masa dan risiko konvensional dan bukan konvensional lain dapat dielakkan,” katanya.
Chong percaya, faedah ekonomi tidak patut diperoleh dengan mengorbankan keselamatan jangka panjang Malaysia.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa hasil daripada pelancongan yang akan diperoleh Malaysia adalah besar, meraih manfaat daripada pelancong yang singgah selepas mengunjungi negara jiran yang popular, khususnya Thailand.