
Badan kawal selia itu menepis tuduhan ia bertindak melangkaui bidang kuasanya, susulan penahanan ahli jawatankuasa penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, baru-baru ini.
SKMM dalam kenyataan menegaskan ia melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya berpandukan Akta SKMM dan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).
“Segala tindakan penguatkuasaan yang diambil SKMM mengikut proses dan prosedur yang ditetapkan sebagaimana termaktub dalam bidang kuasa SKMM sebagai pengawal selia industri komunikasi dan multimedia negara,” katanya.
Sanggahan ini menjawab artikel oleh penulis blog, Murray Hunter, menyentuh tentang penahanan Badrul, dan dikatakan menuduh SKMM melangkaui bidang kuasa untuk kepentingan diri.
SKMM juga mendakwa Hunter melemparkan tohmahan bahawa ia bertindak menakut-nakutkan rakyat.
“Penyebaran kandungan tidak benar termasuk dengan niat mengganggu pihak lain adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM,” jelasnya.
“Selain itu, tindakan memuat naik kandungan yang memfitnah dan menghina SKMM juga merupakan satu kesalahan.”
Satu laporan polis dibuat oleh SKMM ke atas Hunter dan lain-lain pihak berkaitan, untuk tindakan lanjut.
“Sekiranya Hunter mempunyai sebarang aduan terhadap SKMM, beliau perlu tampil untuk membuat aduan melalui saluran rasmi,” tambahnya.
Terdahulu, Badrul didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan fitnah jenayah dan hasutan.
Tertuduh didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di mana beliau mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong. Dia juga berdepan tuduhan membuat penerbitan menghasut.
Badrul mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan hakim.
Dia akan didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor esok berhubung hantaran di media sosial berkait laporan Bloomberg mendakwa ada perbincangan di peringkat tertinggi mengenai pembinaan kasino di Forest City.