Menteri ingatkan pengusaha pusat jagaan jangan ambil kesempatan

Menteri ingatkan pengusaha pusat jagaan jangan ambil kesempatan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata ada yang diberi kelonggaran untuk pembaharuan dan kelulusan namun segelintirnya menyalahgunakan proses itu.

Nancy Shukri berkata pengusaha pusat jagaan warga emas diberi lanjutan jika mereka menunjukkan komitmen untuk memenuhi keperluan kerajaan.
PUTRAJAYA:
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri memberi amaran kepada pengusaha pusat jagaan warga emas supaya tidak menyalahgunakan kelonggaran diberikan kepada mereka semasa permohonan untuk pendaftaran dan pembaharuan lesen.

“Kita tidak perlu bercakap tentang pengampunan lagi, kerana pusat jagaan biasanya diberi masa 14 hari (untuk memohon).

“Mereka boleh memohon kepada kita untuk lanjutan masa supaya kita dapat melihat kesungguhan komitmen mereka dalam menepati keperluan itu.

“Jika pengusaha itu langsung tidak mempedulikannya, kita terpaksa mengambil tindakan lebih keras,” katanya kepada pemberita.

Nancy berkata, kelonggaran diberikan kepada pusat untuk terus beroperasi semasa proses permohonan, semata-mata atas dasar kemanusiaan.

Bagaimanapun, katanya, kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kecuaian daripada pengusaha, kerana ‘kita tidak mahu penghuni hidup dalam keadaan teruk’.

Beliau mengulas laporan FMT kelmarin yang menyiarkan gesaan Presiden Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas Malaysia (AgeCOpe), Delren Douglas, supaya kerajaan menawarkan pengampunan dua tahun kepada pusat jagaan warga emas yang beroperasi secara haram.

Delren berkata, ia akan menggalakkan pusat itu mematuhi undang-undang dan standard penjagaan yang munasabah.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 2,000 pusat tanpa lesen beroperasi kerana terdapatnya ‘birokrasi dan proses yang rumit’.

Katanya, kelulusan lesen boleh mengambil masa hingga setahun dan pembaharuan enam bulan.

Nancy berkata, kementerian mengambil tindakan terhadap lebih 1,000 pusat jagaan tidak berdaftar.

Beliau berkata, notis akan dikeluarkan terlebih dahulu kepada pusat jagaan tidak berdaftar yang memerlukannya sama ada mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam tempoh 14 hari – boleh dilanjutkan beberapa kali – atau ditutup.

Jika pusat jagaan itu gagal mematuhinya ia akan dipaksa tutup dan pemilik akan didakwa kerana ketidakpatuhan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.