Malaysia paling awal terima visa haji musim ini

Malaysia paling awal terima visa haji musim ini

Ini hasil usaha pantas pihak TH apabila permohonan visa dibuka oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, kata Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na'im Mokhtar
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar menyantuni dan melihat gerak kerja warga TH di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur, malam tadi. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji 1445H/2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata, kejayaan itu susulan persiapan awal dilaksanakan Tabung Haji (TH) dalam pelbagai aspek.

“Dengan adanya keupayaan daripada sudut komitmen warga kerja dan sistem sedia ada, apabila permohonan visa dibuka, kita yang pertama sekali uruskan dengan cepat, itu asasnya dan sudah tentu melalui perjanjian yang kita uruskan daripada awal, maka ia menjadi lebih mudah.

“Jadi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada TH atas kecepatan agensi kita ini sehingga berjaya mendapatkan visa awal daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau sesi pemprosesan visa dan pasport jemaah haji di Menara Tabung Haji malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, beliau turun padang untuk menyantuni dan melihat gerak kerja warga TH termasuk kakitangan sambilan yang dilantik dalam urusan pemprosesan visa.

“Alhamdulillah, saya sempat bertemu dengan mereka, memberi semangat dan mengucapkan jutaan terima kasih kerana bantu TH. Mereka sangat penting kerana visa ini kalau tidak dapat, maka jemaah kita tidak boleh ke Tanah Suci,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi TH Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Eksekutif Haji TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Terdahulu, Na’im dalam sesi kunjungan itu turut mengedarkan pek makanan kepada petugas-petugas TH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.