Chegubard akan didakwa lagi di mahkamah Johor

Chegubard akan didakwa lagi di mahkamah Johor

Peguam ahli Bersatu itu, Rafique Rashid Ali berkata anak guamnya akan dituduh berkait komen yang dibuat mengenai laporan terbaharu Bloomberg tentang Forest City.

Badrul Hisham Shaharin
Peguam Badrul Hisham Shaharin berkata pihaknya masih belum mengetahui butiran tuduhan berkenaan.
KUALA LUMPUR:
Ahli Bersatu Badrul Hisham Shaharin, atau Chegubard akan didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor esok berhubung hantaran di media sosial berkait laporan Bloomberg mendakwa ada perbincangan di peringkat tertinggi mengenai pembinaan kasino di Forest City.

Peguam Badrul, Rafique Rashid Ali berkata anak guamnya akan pergi ke Johor pada pagi esok untuk berdepan dakwaan itu.

“Kami tidak tahu lagi butiran tuduhan berkenaan,” kata Rafique dalam satu sidang media.

Sementara itu, Badrul mempersoalkan mengapa tiada laporan polis dibuat terhadap Bloomberg.

“Komen saya berdasarkan laporan itu tetapi Bloomberg tak disentuh,” katanya.

Pada minggu lalu, Bloomberg melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu dengan pengasas Berjaya Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting Lim Kok Thay bagi membincangkan lesen kasino untuk Forest City.

Memetik sumber, Bloomberg melaporkan kewujudan kasino itu akan memulihkan projek hartanah bernilai USD100 bilion di kawasan itu.

Dalam satu hantaran di Facebook, Badrul mengaitkan pengumuman Anwar mengenai “hab kewangan” di Forest City dengan laporan pembukaan kasino tersebut.

Terdahulu hari ini, Badrul mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan fitnah jenayah dan hasutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Badrul didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah di mana beliau mempunyai sebab untuk percaya bahawa ia akan merosakkan nama baik Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, jam 6 petang pada 22 Jan lalu.

Beliau juga berdepan tuduhan membuat penerbitan menghasut di Facebook di Taman Bukit Cheras, di sini, jam 12.15 tengah hari, 6 April lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.