
Pengurus restoran, Momina Arooj, 27, berkata bukan semua makanan dihidangkan di restoran tidak sihat sehingga menjadi punca kepada pelbagai masalah kesihatan seperti didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), baru-baru ini.
“Masakan dimasak dengan bersih dan sedap,” katanya kepada FMT sambil menegaskan setiap premis dipantau petugas kesihatan untuk memastikan kebersihan serta kualiti makanan dijual pengusaha makanan.
Menurut Momina, daripada melarang operasi restoran selama 24 jam untuk mengelakkan masalah kesihatan, kerajaan boleh mencari pendekatan lain lebih kreatif.

“Fikir pendekatan lebih kreatif dalam membendung masalah itu tanpa perlu merencatkan ekonomi industri makanan,” katanya.
Baru-baru ini, CAP menggesa kedai makan dilarang beroperasi 24 jam bagi membantu mengurangkan masalah kesihatan dan obesiti di negara ini.
Pada 24 April lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata Kementerian Kesihatan perlu mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh bagi memastikan isu dapat dikaji secara menyeluruh, dengan syor penyelesaian yang mempunyai hala tuju jelas.
Dzulkefly dipetik berkata, dakwaan operasi kedai makan 24 jam antara punca utama obesiti dalam negara harus dibuktikan secara empirikal melalui kajian yang objektif dan menyeluruh.

Sementara itu, pelanggan, Muhamad Syukri Mohamad, 36, berkata tidak relevan mengaitkan punca masalah kesihatan dan obesiti dengan kedai makan dibuka 24 jam kerana ia terletak pada individu.
“Apa bukti untuk mengatakannya punca obesiti? Bagi saya ini bukan masalah kedai tetapi cara pemakanan,” katanya.

Seorang lagi pelanggan, Abd Halim Sulaiman, 59, berkata langkah mengehadkan waktu operasi kedai makan akan menyukarkan mereka yang bekerja malam untuk mencari makanan.
“Orang penat bekerja dan perlu cari makanan,” katanya.