
Presiden Rashid Ka’ berkata, keputusan itu dibuat lewat malam tadi kerana masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.
“Dukacita saya maklum kita (Asli) menarik diri dan tidak akan meletakkan calon dalam PRK KKB.

“Keputusan dibuat disebabkan masalah teknikal. Begitulah nasib kami Orang Asli. Kami sangat sedih, borang pencalonan sudah dibeli dan tunggu nak serah pagi ini, malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah benar kami guna logo Asli tapi tidak kesampaian,” katanya kepada FMT.
Ditanya sama ada keputusan Asli tidak meletakkan calon disebabkan ada tekanan daripada pihak tertentu, Rashid tidak mengesahkan atau menafikannya.
Rashid turut memaklumkan pihaknya memberi laluan kepada parti lain untuk terus bertanding dan berikrar akan menentang mereka yang menang PRK nanti jika mengabaikan nasib Orang Asli pada PRU akan datang.
Beliau berkata, parti itu akan turun bertemu masyarakat Orang Asli dalam masa terdekat untuk memberi penjelasan sebelum membuat pendirian menyokong gabungan mana dalam PRK itu.
Pada 24 April lalu, FMT melaporkan Asli akan meletakkan calon di PRK 11 Mei ini untuk menentang Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Rashid berkata, parti itu akan mempertaruhkan seorang ahli perniagaan berusia 30-an yang juga anak jati Orang Asli Selangor berkelulusan ijazah.
Penamaan calon akan berlangsung di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pagi ini dengan proses serahan borang dibuka hingga 10 pagi.
SPR memaklumkan sebanyak enam borang pencalonan dibeli parti bakal bertanding.
Seramai 40,226 pemilih layak mengundi pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu dengan pecahan Melayu (46%), Cina (30%), India (18%) dan lain-lain (5%).
Ia diadakan susulan kematian Adun DAP daripada PH Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu akibat kanser.