Jangan ‘teruja’ gerak sendiri, pemimpin India Gerakan beritahu MIPP

Jangan ‘teruja’ gerak sendiri, pemimpin India Gerakan beritahu MIPP

G Parameswaran berkata MIPP perlu 'berpaut' pada pemimpin India berpengalaman dalam PN untuk meraih sokongan kaum itu.

G Parameswaran n P Punithan
Naib Presiden Gerakan G Parameswaran MIPP yang diketuai P Punithan perlu bekerjasama dengan semua pemimpin India dalam PN.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Gerakan mengingatkan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) jangan terlalu “teruja” bergerak bersendirian sebaliknya perlu “berpaut” pada wakil India lebih berpengalaman dalam Perikatan Nasional (PN).

Naib Presiden Gerakan G Parameswaran berkata semua pemimpin India dalam PN perlu bekerjasama kerana cabaran meraih sokongan komuniti itu cukup besar berdasarkan keputusan pilihan raya sebelum ini.

“Selangor pun orang susah terima, macam mana nak pergi ke seluruh negara (raih sokongan India).

“MIPP tak boleh bekerja sendiri sebaliknya bersama sayap atau jawatankuasa India dalam PN, kalau tak susah nak berjaya,” katanya kepada FMT mengulas kenyataan Presiden MIPP P Punithan bahawa penyertaan itu mencerminkan komitmen PN membela komuniti India.

MIPP diterima secara rasmi menyertai PN pada Isnin lalu.

Parameswaran juga berpandangan, PN perlu menubuhkan struktur baharu melibatkan semua pemimpin India termasuk daripada MIPP, Gerakan, Bersekutu Bersatu dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) untuk melancarkan kerjasama.

“Kita tak boleh bekerja kalau masing-masing bergerak sendiri, kena turun bersama-sama dengan pelaksanaan baik. Kalau tak sia-sialah (tubuh parti India baharu),” katanya yang mengetuai Pasukan Petugas Khas Hal Ehwal Masyarakat India Gerakan.

Khamis lalu, FMT memetik kenyataan seorang pemimpin sayap Bersekutu Bersatu mendakwa timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan ahlinya selepas PN menerima MIPP sebagai parti komponen Isnin lalu.

Mempertikaikan kenyataan Punithan bahawa kemasukan parti itu mencerminkan komitmen PN untuk membela komuniti India, seorang pemimpin sayap berkenaan memberitahu kemasukan parti komponen baharu tersebut “sekadar satu latihan penjenamaan”.

Beliau turut mendakwa, pemimpin India dalam sayap Bersatu itu langsung tidak dilibatkan dalam perbincangan, malah membidas alasan PN memerlukan “wajah India” yang disifatkan tidak masuk akal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.