
Justeru, beliau menafikan laporan itu dan menegaskan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di kawasan berkenaan.
Onn Hafiz turut mengulangi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan kasino di Johor.
“Khabar angin yang tular ini dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Bloomberg melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu Pengasas Berjaya Corporation Bhd (Berjaya) Vincent Tan dan CEO Kumpulan Genting Lim Kok Thay untuk membincangkan perkara itu minggu lalu.
Memetik sumber, Bloomberg melaporkan kewujudan kasino itu akan memulihkan projek hartanah bernilai USD100 bilion di kawasan berkenaan.
Hari ini, Berjaya turut menafikan laporan itu yang menyatakan Tan, terbabit perbincangan dengan Anwar untuk membuka sebuah kasino di Forest City.
Berjaya dalam kenyataan berkata, berita itu yang turut dilapor The Edge Singapore, mengandungi maklumat tidak tepat dan memberi gambaran salah pembabitan syarikat berkenaan dalam perbincangan dengan Anwar berhubung Forest City.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri juga tidak pernah menerima jemputan bagi perbincangan berhubung perkara tersebut, apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya.
“Kerajaan negeri juga tidak menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara yang sama,” katanya.
Berkaitan pembangunan di Forest City, Onn Hafiz berkata kawasan itu akan diberikan nafas baru dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurutnya, pihaknya bersama kerajaan pusat sedang berusaha untuk meningkatkan ekonomi Johor supaya memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi buat rakyat negeri itu.
“Dengan penegasan ini, kerajaan negeri berharap isu ini tidak lagi diperpanjang dan dimomokkan sehingga menjejaskan kerukunan dan nama baik negeri dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum,” katanya.