
Badan pemerhati pilihan raya itu berkata, acara tersebut akan diadakan pada hari penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu dan melibatkan aktiviti seperti jamuan makan serta pemberian duit raya.
“Pemberian atau penjamuan makanan semasa tempoh pilihan raya adalah satu kesalahan bawah Seksyen 8 (Penjamuan) dan pemberian duit raya adalah kesalahan bawah Seksyen 10 (Penyogokan),” katanya dalam kenyataan.
Majlis rumah terbuka tersebut, yang akan dihadiri oleh Menteri Besar Amirudin Shari, exco dan lain-lain, dijangka menarik kira-kira 25,000 pengunjung.
Seksyen 8 dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya melarang pemberian makanan, minuman atau hiburan dengan maksud mempengaruhi pengundi, manakala Seksyen 10 melarang sogokan melalui pemberian wang, hadiah, atau insentif lain kepada pengundi atau bakal calon.
PRK Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei susulan kematian penyandangnya, Adun DAP Lee Kee Hiong, akibat kanser bulan lepas.
Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon daripada DAP, Pang Sock Tao, setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut.
Dalam kenyataannya, Bersih turut mengingatkan kerajaan Selangor bahawa majlis rumah terbuka itu akan menggunakan sumber kerajaan negeri.
“Maka (kerajaan negeri) perlu memastikan bahawa majlis tersebut tidak digunakan sebagai platform untuk memperkenalkan calon daripada komponen parti kerajaan, dan seterusnya berkempen dengan memasang bendera dan kaedah-kaedah kempen yang lain yang bertujuan untuk memenangkan calon mereka.”
“Bersih sekali lagi menegaskan kepada semua pihak yang akan bertanding dalam PRK ini, terutamanya pihak kerajaan Selangor dan persekutuan agar mematuhi etika kempen supaya pilihan raya di negara kita dapat berjalan dengan bersih dan adil,” katanya.