Pesawat ringan lakukan pendaratan cemas di LTSAAS

Pesawat ringan lakukan pendaratan cemas di LTSAAS

Dua juruterbang berada dalam pesawat ringan jenis Diamond DA-42 selamat.

Diamond DA-42
Pesawat ringan jenis Diamond DA-42 melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pagi tadi. (Gambar Wikipedia)
KUALA LUMPUR:
Sebuah pesawat ringan melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, dua minit selepas berlepas pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam, Norazman Mahmud, berkata dua juruterbang yang berada dalam pesawat ringan jenis Diamond DA-42 dengan nombor pendaftaran N566CB dikendalikan Techstrait Ltd, selamat.

“Pesawat itu berlepas pada 8.26 pagi dari LTSAAS dan pihak Menara Kawalan Trafik Udara Subang telah menerima panggilan kecemasan sejurus pesawat berlepas. Pesawat kemudian membuat pendaratan cemas pada 8.28 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, landasan lapangan terbang terlibat ditutup kepada operasi penerbangan buat sementara, sehingga pesawat itu dialihkan dari landasan.

Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.