
Pada 17 April lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan kerajaan tidak akan meneruskan projek itu selepas syarikat konsesi gagal memenuhi enam daripada 11 syarat ditetapkan.
Setiausahanya Ammar Atan berkata walaupun pembatalan PJD Link sudah dijelaskan namun kerajaan wajar mencari penyelesaian lain memandangkan kesesakan jalan di daerah itu semakin melarat, tambahan peningkatan populasi penduduk dan perumahan bertingkat.
Justeru, beliau berkata sistem BRT dilihat alternatif terbaik ketika ini memandangkan kos pembinaannya lebih murah dan mudah.
“Sistem BRT iaitu laluan khas bas di paras jalanan atau menggunakan jejambat, adalah lebih wajar berbanding pembinaan lebuhraya baharu untuk mengurangkan kesesakan jalan raya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, melalui BRT, sistem pengangkutan awam lain seperti LRT, MRT dan KTM serta bas Prasarana dapat diintegrasikan bagi memastikan pengguna menikmati “seamless connections”.
“Amanah PJ berharap cadangan BRT ini dapat dikaji untuk kebaikan rakyat Petaling Jaya dan kami percaya bahawa ia akan menjadi model yang terbaik untuk diperluas ke kawasan-kawasan trafik tinggi lain.
“Malah, projek BRT ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang memerlukan,” katanya.
Ammar bagaimanapun berkata, sistem BRT bukan penyelesaian tuntas kepada masalah kesesakan di Petaling Jaya, sebaliknya Putrajaya perlu terus melaksanakan kerja pelebaran jalan, selain mengkaji perubahan arah aliran trafik.
“Sekiranya mustahak, lebuh raya baharu boleh dibina di sepanjang Sungai Klang namun dengan jajaran baharu yang meminimumkan atau mengelakkan laluan menerusi kawasan perumahan.”