Berjaya nafi laporan bincang buka kasino di Forest City

Berjaya nafi laporan bincang buka kasino di Forest City

Syarikat itu juga meminta Bloomberg mengeluarkan 'maklumat mengelirukan' dalam artikel itu yang mengaitkan pengasasnya Vincent Tan.

Berjaya Corporation Bhd berkata pengasasnya, Vincent Tan tidak mengambil bahagian dalam ‘perbincangan seperti itu’ seperti yang didakwa dalam laporan Bloomberg.
PETALING JAYA:
Berjaya Corporation Bhd menafikan satu laporan Bloomberg bahawa pengasasnya Vincent Tan, terbabit dengan perbincangan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membuka sebuah kasino di Forest City, Johor.

Berjaya dalam kenyataan berkata, berita itu yang turut dilapor The Edge Singapore, mengandungi maklumat tidak tepat dan memberi gambaran yang salah pembabitan syarikat itu dalam perbincangan dengan Anwar berhubung Forest City.

“Kami ingin menjelaskan bahawa Tan tidak mengambil bahagian dalam sebarang rundingan sedemikian dan menyangkal dakwaan tidak tepat yang dikemukakan dalam artikel berkenaan,” kata kenyataan itu.

Berjaya juga meminta Bloomberg dan The Edge Singapore untuk memadamkan kandungan yang mengelirukan daripada artikel itu dan pemberhentian penyebaran maklumat yang tidak tepat.

“Kami percaya bahawa pihak yang bertanggungjawab akan memahami kebimbangan kami dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Bloomberg semalam melaporkan Anwar bertemu Tan dan CEO Kumpulan Genting, Lim Kok Thay pada minggu lalu untuk membincangkan pemberian lesen kedua kasino di Malaysia.

Memetik sumber, Bloomberg melaporkan kewujudan kasino itu akan memulihkan projek hartanah bernilai USD100 bilion di kawasan itu.

Laporan itu turut menyebut perjudian adalah salah satu sektor yang paling dikawal selia di Malaysia, dengan lesen kasino perlu diperbaharui setiap tiga bulan mengikut budi bicara menteri kewangan.

Bagaimanapun, Anwar yang juga menteri kewangan menafikan laporan itu dengan berkata, “Tiada…mereka bangkit (berkenaan) lesen kasino…itu tipu.”

Genting memegang lesen kasino tunggal Malaysia sejak 1969 dan mengendalikan satu-satunya kasino negara di Genting Highlands.

Pada 2014, New Straits Times melaporkan Tan mahu menghidupkan semula rancangan untuk mengendalikan kasino di Berjaya Hills Resort di Pahang.

Laporan itu mengatakan bahawa Tan telah memohon lesen untuk mengendalikan kasino di Berjaya Hills sejak 2004 namun ditolak susulan bantahan ramai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.