Berang pasangan bertengkar, lelaki rempuh kereta di tempat letak kenderaan

Berang pasangan bertengkar, lelaki rempuh kereta di tempat letak kenderaan

Suspek berusia 35 tahun ditahan pada Rabu dan direman tiga hari.

Kejadian itu dirakam dalam sebuah klip video 27 saat yang menjadi tular, menunjukkan detik suspek merempuh kenderaan pengadu dengan keretanya.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki kerana merempuh sebuah kereta lain di tempat letak kenderaan kondominium di Kuala Lumpur Isnin lalu.

Ketua Polis Brickfields, Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 35 tahun berang kerana pengadu dan teman wanitanya bising ketika bergaduh di unit kondominium mereka.

Katanya, suspek adalah rakan kepada penyewa lain di unit didiami pasangan tersebut.

“Selisih faham tersebut tidak terhenti di rumah dan menyebabkan berlakunya kejadian khianat kenderaan apabila suspek yang memandu kenderaan lain didapati dengan sengaja telah melanggar kenderaan pengadu yang keluar dari tempat letak kenderaan.

“Kenderaan pengadu mengalami kerosakan yang teruk (namun) pengadu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian itu dirakam dalam sebuah klip video 27 saat yang menjadi tular, menunjukkan detik suspek merempuh kenderaan pengadu dengan keretanya.

Ku Mashariman berkata, suspek ditahan kira-kira 6.15 petang Rabu sebelum direman tiga hari.

Katanya, suspek didapati mempunyai pelbagai rekod jenayah sejak 2014 dan dikehendaki berhubung siasatan kes jenayah lain di Cheras.

“Kertas siasatan yang lengkap dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kuala Lumpur pada 26 April dengan cadangan untuk menuduh suspek bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.