
Dalam kejadian 9.32 pagi itu, dua helikopter TLDM terhempas ketika sedang menjalani raptai lintas hormat untuk kali ketiga sempena sambutan Hari Terbuka Armada TLDM yang dijangka berlangsung Sabtu ini.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata, keperluan bagi meneliti semula SOP itu akan ditentukan selepas pihaknya menerima laporan penuh siasatan nahas berkenaan.
“Kita akan ambil pengajaran dan tunggu laporan siasatan, dari situ kita akan lakukan perkara-perkara yang wajar,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Raya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira ATM.
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil memaklumkan laporan interim nahas berkenaan akan siap dalam tempoh dua minggu.
Mengulas lanjut, Khaled tidak menolak kemungkinan lembaga siasatan yang ditubuhkan TLDM akan memanggil semua pihak berpotensi termasuk syarikat pembekal helikopter bagi melengkapkan siasatannya.
“Jawatankuasa (lembaga siasatan) dibentuk dan mereka akan melihat, akan tentukan siapa yang akan (dipanggil untuk) membantu (siasatan). Kita mesti nak tahu sejelas-jelasnya apa yang berlaku.
“Tiada apa yang mahu diketepikan dan disorokkan,” katanya.
Selasa lalu dua helikopter bertembung di udara ketika menjalani raptai sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90, dijadualkan berlangsung pada 3 hingga 5 Mei ini.
Pesawat itu kemudian terhempas masing-masing di Stadium TLDM Lumut dan kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.
Nahas itu mengorbankan 10 nyawa termasuk kru dan penumpang.
Susulan nahas berkenaan, sambutan itu dibatalkan dan diganti dengan majlis bacaan doa selamat serta tahlil.