Pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor bawa cabaran PN rampas KKB

Pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor bawa cabaran PN rampas KKB

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mengumumkan Khairul Azhari Saut, 54, sebagai calon gabungan itu.

Khairul Azhari Saut
Bersatu menyifatkan pemilihan Khairul Azhari Saut, yang juga anak jati Hulu Selangor mampu membawa kejutan kepada pihak lawan. (Gambar Facebook)
HULU SELANGOR:
Pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut diumumkan calon Perikatan Nasional (PN) dalam misi merampas DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei.

Khairul Azhari, 54, anak jati Hulu Selangor sebelum ini diuar-uarkan sebagai calon gabungan itu, selepas majoriti pengundi di Kuala Kubu Baharu dilaporkan mahu PN diwakili calon Melayu.

“Dia seorang ahli perniagaan tapi saya bagi tahu dia kena serah perniagaan terhadap orang lain apabila menjadi wakil rakyat. Dia setuju.

“Sudah lama dalam bidang politik dan mutakhir ini sebagai pemangku ketua bahagian Bersatu Hulu Selangor, serta banyak terlibat dalam aktiviti bukan kerajaan kawasan berkenaan. Inilah anak tempatan Hulu Selangor yang ‘sah’, kata Pengerusi PN Muhyiddin Yassin ketika berucap pada majlis pengumuman calon PN PRK Kuala Kubu Baharu.

Semalam, DAP mengumumkan Pang Sock Tao, 31, setiausaha akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, sebagai calon kerajaan perpaduan.

Pada PRN lalu, PN diwakili Ketua Gerakan Selangor Henry Teoh tewas kepada Lee Kee Hiong daripada DAP dengan 4,119 undi di DUN itu. Lee mewakili PH di Kuala Kubu Baharu sejak 2013 meninggal dunia pada 21 Mac akibat barah.

Seramai 40,226 pemilih layak mengundi pada PRK berkenaan dengan pecahan Melayu (46%), Cina (30%), India (18%), dan lain-lain (5%).

Terdahulu, selain Khairul timbul khabar angin Gerakan mahu meletakkan Muniraa Abu Bakar sebagai calon, yang sebelum ini bertanding kerusi Bukit Lanjan pada PRN Ogos lalu.

Beliau tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Pua Pei Ling, dengan majoriti 41,227 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.