
“Tiada…mereka bangkit (berkenaan) lesen kasino…itu tipu,” katanya ketika ditemui pada majlis Madani Muhibah Aidilfitri.
Beliau mengulas sama ada Malaysia akan mempertimbangkan pengeluarkan lesen kasino kedua untuk pembangunan di Forest City.
Terdahulu, Bloomberg melaporkan Anwar bertemu dengan pengasas Berjaya Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Genting Group untuk membincangkan perkara itu pada minggu lalu.
Memetik sumber, Bloomberg melaporkan kewujudkan kasino itu akan memulihkan projek hartanah bernilai USD100 bilion di kawasan itu.
Laporan itu turut menyebut perjudian adalah salah satu sektor yang paling dikawal selia di Malaysia, dengan lesen kasino perlu diperbaharui setiap tiga bulan mengikut budi bicara menteri kewangan.
Anwar turut memegang portfolio kewangan dalam Kabinet.
Genting telah memegang lesen kasino tunggal Malaysia sejak 1969 dan mengendalikan satu-satunya kasino negara di Genting Highlands.
Genting juga mengendalikan kasino di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Singapura.
Pada 2014, New Straits Times melaporkan Tan mahu menghidupkan semula rancangan untuk mengendalikan kasino di Berjaya Hills Resort di Pahang.
Laporan itu mengatakan bahawa Tan telah memohon lesen untuk mengendalikan kasino di Berjaya Hills sejak 2004 namun ditolak susulan bantahan ramai.